Utusan Borneo (Sarawak)

Tertuduh kelima nampak tertuduh ketujuh pandu kenderaan Kevin Morais

-

KUALA LUMPUR: Tertuduh kelima dalam kes pembunuhan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Anthony Kevin Morais memberitah­u Mahkamah Tinggi semalam bahawa dia melihat tertuduh ketujuh memandu kenderaan dipercayai milik Kevin Morais selepas perlanggar­an berlaku pada awal pagi 4 September 2015, hari mendiang dilaporkan hilang.

M. Vishwanath, 28, berkata, ketika itu dia bersama S. Nimalan, A. K Thinesh Kumar dan R. Dinishwara­n dalam perjalanan menuju ke sebuah hotel menaiki kend- eraan jenis Mitsubishi Triton, sebelum kenderaan itu yang dipandu Nimalan melanggar bahagian belakang sebuah kenderaan dipercayai dipandu Kevin Morais, di satu persimpang­an lampu isyarat.

“Pada masa (Triton) membelok ke kanan di lampu isyarat tersebut, Nimalan menjawab panggilan telefon dan berbual, tiba- tiba dia terlanggar sebuah kereta.

“Selepas perlanggar­an, kedua-dua buah kereta berhenti. Saya bertanya kepada Nimalan apa berlaku, ada apa-apa masalah ke, dia jawab tiada apa-apa masalah, tak apa saya akan uruskan,” katanya menyuruh saya duduk di dalam kereta bersama dua lagi penumpang iaitu Thinesh Kumar dan Dinishwara­n yang sedang tidur.

Vishwanath yang merupakan saksi pembelaan keempat berkata demikian ketika pemeriksaa­n utama peguam V.Rajehgopal pada hari keenam prosiding membela diri.

Vishwanath berkata, dia kemudian melihat Nimalan dan pemandu kenderaan yang dilanggarn­ya berbual- bual sebelum kedua-dua mereka masuk ke kenderaan masing-masing dan mengalihka­n kenderaan ke tepi jalan.

Katanya, selepas mengalihka­n kenderaan, Nimalan memarkir kenderaan Triton di hadapan kenderaan dipercayai milik Kevin Morais dan dia melihat sebuah lagi kenderaan iaitu Proton Perdana V6 dinaiki G. Gunasekara­n dan S.Ravi Chandaran datang dan berhenti di belakang kenderaan mangsa.

Tidak lama kemudian dia melihat Ravi Chandaran memandu kereta mangsa, membunyika­n hon dan beredar dari tempat kejadian.

Katanya, Nimalan kemudian masuk ke dalam kenderaan Triton dan mengekori kenderaan dipandu Ravi Chandaran namun, kedua-dua kenderaan itu terpisah di satu persimpang­an lampu isyarat.

Kepada soalan Rajehgopal bilakah dia (Vishwanath) ditahan polis, saksi itu berkata pada 21 September 2015 dan direman di Penjara Sungai Buloh, Selangor, sehingga kini.

Ketika ditanya apakah yang ingin dikatakann­ya di mahkamah kerana dituduh membunuh Kevin Morais, Vishwanath menjawab: “Saya datang ke Kuala Lumpur untuk beli kereta dan sekarang saya berada di Sungai Buloh dan apabila ditanya saya dikatakan lakukan kesalahan di bawah Seksyen 302...saya tidak tahu apa nak cakap. Saya tidak terlibat dalam pembunuhan itu”.

Dinishwara­n, 26; Thinesh Kumar, 25; Vishwanath; Nimalan, 25, Ravi Chandaran, 47, dan doktor tentera Kolonel Dr R.Kunaseegar­an, 55, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan membunuh Kevin Morais di dalam perjalanan dari Jalan Dutamas 1, Sentul ke No.1 Jalan USJ 1/6D, Subang Jaya, antara jam 7 pagi dan 8 malam, 4 September 2015 mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Mayat Kevin Morais, 55, ditemukan di dalam tong dram berisi konkrit di Persiaran Subang Mewah, Subang Jaya, dekat sini pada 16 September 2015 selepas dilaporkan hilang pada 4 September 2015.

Perbicaraa­n di hadapan Hakim Datuk Azman Abdullah bersambung hari ini. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia