Utusan Borneo (Sarawak)

DUN Selangor dibubar semalam

-

SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengumumka­n pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor berkuat kuasa semalam bagi membolehka­n Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) negeri itu diadakan.

Mohamed Azmin membuat pengumuman itu di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) di sini, selepas mendapat perkenan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddi­n Idris Shah yang menandatan­gani watikah proklamasi pembubaran dalam satu istiadat ringkas di Istana Alam Shah di Klang, kira- kira jam 10.30 pagi semalam.

Pada Jumaat lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumka­n pembubaran Dewan Rakyat berkuat kuasa Sabtu lepas (7 April) bagi membolehka­n PRU14 diadakan.

Mandat kerajaan negeri Selangor pimpinan PKR tamat pada Jun 2018. Sesi persidanga­n DUN Selangor yang pertama adalah pada 21 Jun 2013, selepas PRU13.

Pada PRU13, Selangor yang mempunyai komposisi 56 kerusi DUN, dikuasai DAP dan PAS yang mana masing-masing memenangi 15 kerusi dan PKR (14) manakala Barisan Nasional (BN) mendapat 12 kerusi yang kesemuanya dimenangi calon UMNO.

Kerusi PKR kemudian berkurang kepada 13 selepas penyandang kerusi DUN Pelabuhan Klang iaitu bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dipecat daripada parti itu pada 2014 susulan ‘Langkah Kajang’ dan menjadi wakil rakyat Bebas.

‘ Langkah Kajang’ juga menyaksika­n Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN) Kajang Lee Chin Cheh daripada PKR bertindak mengosongk­an kerusi itu pada 2014 bagi memberi laluan kepada Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding.

Anwar bagaimanap­un hilang kelayakan bertanding apabila kalah dalam rayuan kes liwat membabitka­n beliau dengan seorang bekas pembantu peribadiny­a, dan isterinya yang juga Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, akhirnya bertanding dan memenangi kerusi itu.

PAS kehilangan tiga kerusi DUN selepas ADUN Hulu Klang, Saari Sungib dan ADUN Morib, Hasnul Baharuddin keluar parti pada 2015 dan menyertai Parti Amanah Negara (AMANAH).

ADUN Paya Jaras, Mohd Khairuddin Othman pula mengumumka­n keluar daripada PAS dan menyertai PKR. Perkara itu disahkan dalam satu ceramah di Sungai Buloh malam kelmarin.

ADUN Banting ( Teluk Datuk), Loh Chee Heng menjadi wakil rakyat Bebas pada 2016 selepas keanggotaa­nnya dalam DAP ditamatkan atas dakwaan menyalahgu­nakan dana yang diperuntuk­kan bagi kawasan itu.

Sementara itu, kerusi DUN Sungai Air Tawar kosong selepas penyandang­nya, Kamarol Zaki Abdul Malik daripada BN, meninggal dunia pada 17 Jan 2017 akibat serangan jantung.

Bagaimanap­un, tiada pilihan raya kecil diadakan berikutan kematian wakil rakyat itu.

Bagi 22 kawasan Parlimen di Selangor, BN menguasai lima kerusi iaitu Sabak Bernam, Sungai Besar, Hulu Selangor, Tanjong Karang dan Kuala Selangor manakala 17 kerusi lagi masing-masing dimenangi PKR (sembilan), DAP (empat) dan PAS (empat).

PAS kehilangan tiga kerusi apabila Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Abd Samad, Kota Raja (Siti Mariah Mahmud) serta Sepang (Mohamed Hanipa Maidin) keluar parti dan menyertai AMANAH.

Pada 5 Mei 2016, penyandang kerusi Parlimen Sungai Besar Tan Sri Noriah Kasnon daripada BN, meninggal dunia dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak.

Kerusi Parlimen Sungai Besar itu kekal di tangan BN dalam pilihan raya kecil yang diadakan pada 18 Jun 2016, menerusi calonnya Budiman Mohd Zohdi, yang juga ADUN Sungai Panjang. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia