Utusan Borneo (Sarawak)

Johnathan sedih gagal sumbang pingat

-

BRISBANE: Penembak negara, Johnathan Wong jelas tidak dapat menyembuny­ikan kesedihann­ya selepas gagal meraih pingat pada saingan akhir acara 10m air pistol lelaki di Pusat Menembak Belmont semalam.

Penembak berusia 25 tahun itu ternyata kecewa setelah menamatkan saingan tersebut di kedudukan kelapan, sedangkan ketika layak ke pentas akhir beliau selesa menduduki tempat ketiga.

Atlet kelahiran Melaka itu memberitah­u ketika saingan akhir berkenaan, beliau bergelut untuk memastikan berada di prestasi terbaik, namun segalanya tidak menjadi.

“Tidak ada gangguan semasa aksi itu. Saya sangat fokus dan tahu apa perlu dilakukan. Saya berusaha mendapatka­n kembali tahap prestasi yang saya harapkan.

“Sebenarnya saya bergelut semasa aksi kelayakan, dan bidikan saya tidak beberapa bagus. Setelah saya tahu saya layak ke pentas akhir, saya berharap segalanya bertambah baik, namun tembakan pertama saya sangat teruk.

“Saya berusaha keras agar prestasi saya kembali baik. Saya mengikut arahan jurulatih bagi mendapatka­n rentak dan keyakinan, tetapi segala yang dirancang tidak menjadi,” katanya.

Johnathan mengumpul 112 mata pada saingan akhir itu. Pingat emas dimenangi penembak India Jitu Rai selepas membidik 235.1 mata dan rakan sepasukann­ya Om Mitharval memenangi gangsa apabila mengumpul 214.3 mata manakala penembak Australia Kerry Bell meraih perak dengan catatan 233.5 mata.

Johnathan berharap dapat mencatat keputusan positif dalam acara 50m air pistol pada Rabu ini, walaupun kategori berkenaan bukan acara kegemarann­ya.

“Apa yang saya pelajari hari ini ialah terus berusaha walaupun segala yang dirancang tidak menjadi. Namun saya gembira kerana layak ke pentas akhir. Saya akan cuba melakukan yang terbaik,” katanya.

Sementara itu, Nur Suryani Mohamed Taibi gagal layak ke pentas akhir acara 10m air rifle wanita selepas menamatkan saingan tempat ke-11 dengan mengumpul 406.6 mata. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia