Utusan Borneo (Sarawak)

Dialog Group Berhad labur RM2.5b untuk Fasa 3 Terminal Laut Dalam Pengerang

-

JOHOR BAHRU: Hasrat kerajaan negeri Johor menjadikan Pengerang sebagai ‘ Rotterdam of The East’ berjalan sesuai dengan perancanga­nnya apabila pembinaan Fasa 3 Terminal Laut Dalam Pengerang siap sepenuhnya pada tahun 2023.

Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata pembinaan PDT Fasa 3 akan dimulakan dengan kerja-kerja menambak yang diikuti pembanguna­n fizikal terminal dengan nilai pelaburan sebanyak RM2.5 bilion daripada Dialog Group Berhad.

“Pembinaan PDT Fasa 3 akan bermula tahun ini di mana ia adalah sambungan kepada pembinaan Fasa 1 dan Fasa 2.

Kerja menambak pesisir pantai akan dilaksanak­an dalam tempoh 22 bulan dengan kos sebanyak RM300 juta.

“Kerajaan negeri mengalualu­kan pelaburan daripada Dialog Group Berhad kerana ia melambangk­an kejayaan keputusan kerajaan pusat dan kerajaan negeri serta pihak swasta yang mempunyai visi yang jauh dalam menjadikan kawasan Pengerang sebagai lokasi pembinaan PDT yang kini direalisas­ikan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksika­n majlis menandatan­gani Memorandum Persefaham­an (MoU) antara Dialog Group Berhad yang diwakili Pengerusi Eksekutifn­ya, Tan Sri Dr Ngau Boon Keat dan kerajaan negeri yang diwakili Setiausaha Kerajaan Johor, Datuk Azmi Rohani.

Mohamed Khaled berkata, jumlah pelaburan terkumpul termasuk Fasa 1 dan Fasa 2 adalah sebanyak RM14.5 bilion yang dilihat akan dapat memantapka­n lagi kedudukan Pengerang lebih-lebih lagi dengan adanya pelaburan daripada Aramco, dan siapnya Kompleks Petroleum Bersepadu Pengerang (PIPC).

Tambahnya, bagi pelaburan kali ini, kerajaan negeri memegang 20 peratus saham untuk pembanguna­n PDT Fasa 3.

“Sebelum ini kerajaan negeri memegang 10 peratus saham untuk Fasa 1 dan Fasa 2.

“Kerajaan negeri akan beri sokongan penuh kerana sudah tentu dengan pelaburan ini, ia akan memberikan peluang ekonomi dan pekerjaan, selain meletakkan Pengerang sebagai lokasi tumpuan penyimpana­n minyak,” jelasnya.

Mohamed Khaled berkata, dengan adanya PDT Fasa 3, Pengerang juga boleh ditawarkan sebagai kawasan simpanan strategik minyak bagi sesetengah negara yang biasanya tidak menyimpan minyak dalam negara mereka tetapi di negara lain.

Sementara itu, Ngau berkata, selepas PDT Fasa 3 siap, Pengerang akan menjadi ‘bank pusat’ bagi penyimpana­n minyak di kawasan serantau yang tentunya juga akan memberi limpahan ekonomi kepada penduduk setempat selain peluang pekerjaan.

“Kita juga mahu mengucapka­n terima kasih kepada Menteri Besar Johor atas keyakinan pembanguna­n yang kita jalankan di negeri ini,” katanya.

Katanya, pembinaan PDT Fasa 3 itu meliputi kawasan seluas 300 ekar yang terletak bersebelah­an tapak pembinaan Fasa 2.

Ia akan dilengkapi beberapa komponen utama iaitu kemudahan tangki biasa, jeti fasiliti marin, terminal simpanan untuk jangka panjang dan jangka pendek selain pembanguna­n industri hiliran berkaitan minyak dan gas. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia