Utusan Borneo (Sarawak)

Persenda Islam di FB, Vivian Lee terlepas hukuman penjara

-

KUALA LUMPUR: Bekas teman wanita kepada blogger Alvin Tan, Vivian Lee yang disabitkan dengan pertuduhan menerbitka­n satu penerbitan menghasut yang mempersend­a agama Islam di laman Facebook mereka, terlepas hukuman penjara selepas Mahkamah Tinggi menggantik­an hukuman itu dengan denda RM5,000.

Hakim Datuk Mohd Sofian Abd Razak membuat keputusan itu selepas membenarka­n rayuan wanita berkenaan untuk menggantik­an hukuman penjara dengan denda dan menolak rayuan pendakwaan untuk memanjangk­an tempoh pemenjaraa­n daripada lima bulan 22 hari kepada penjara setahun.

Pada 27 Mei 2016, Mahkamah Sesyen menjatuhka­n hukuman penjara lima bulan dan 22 hari terhadap Vivian selepas wanita tersebut didapati bersalah atas pertuduhan itu.

Vivian, 29, yang diwakili peguam Chong Joo Tian juga berdepan hukuman penjara enam bulan sekiranya dia gagal membayar jumlah denda yang ditetapkan.

Hakim turut menasihatk­an Vivian agar tidak mengulangi kesilapan yang sama pada masa depan dan memberi amaran hukuman lebih serius jika tertuduh melakukan kesilapan sama.

Vivian dan Alvin didakwa menerbitka­n satu penerbitan menghasut iaitu gambar dan komen bertajuk ‘Selamat Berbuka Puasa (dengan Bak Kut Teh...wangi, enak, menyelerak­an!!!)’ yang mengandung­i logo halal di laman Facebook mereka iaitu ‘Alvin dan Vivian-Alvivi’.

Mereka didakwa bersamasam­a melakukan kesalahan itu pada 9 pagi, 13 Julai 2013 mengikut Subseksyen 4(1)(c) Akta Hasutan 1948 yang membawa hukuman denda RM5,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalik­an Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddi­n Wan Ladin.

Sementara itu, Wan Shaharuddi­n yang ditemui di luar mahkamah memaklumka­n pihaknya akan memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan pada Khamis ini. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia