Utusan Borneo (Sarawak)

Warga emas rugi RM40,000 gara-gara tertipu batu sakti

-

KUANTAN: Seorang wanita warga emas mengalami kerugian RM40,000 selepas terperdaya dengan tawaran batu delima yang didakwa mempunyai kesaktian oleh tiga lelaki pada jam 1 petang kelmarin.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang Supt Wazir Yusof berkata ketika berada di hadapan sebuah pasar di Triang mangsa, 63 tahun telah ditegur oleh tiga lelaki yang berusia lingkungan 40 dan 50-an.

“Suspek telah berpurapur­a untuk mencari individu yang dikenali sebagai Haji Yusof untuk menjual sebutir batu delima yang didakwa mempunyai kesaktian.

“Bagaimanap­un setelah diterang mengenai kesaktian batu itu, mangsa bersama suaminya telah berminat untuk membeli barang berkenaan,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Beliau berkata, mangsa bersama suami kemudian telah pergi mengeluark­an wang dari bank di Mentakab dan Temerloh sebelum menyerahka­n wang sebanyak RM40,000 kepada suspek.

Kemudian, katanya seorang daripada suspek yang dikenali sebagai ustaz telah meminta mangsa untuk melakukan solat syukur di sebuah masjid di Temerloh.

Sebaik sahaja selesai, katanya mangsa mendapati suspek telah menghilang­kan diri dan telah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Bera pada jam 8 malam tadi setelah menyedari ditipu.

Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntu­kkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia