Utusan Borneo (Sarawak)

Selangor paling ramai pengundi

-

PUTRAJAYA: Selangor merekodkan jumlah pemilih berdaftar paling tinggi iaitu 2,415,074 orang yang layak mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pada 9 Mei depan.

Menurut statistik Suruhanjay­a Pilihan Raya (SPR) yang diwartakan semalam dan diedarkan kepada pihak media selepas mesyuarat khas SPR semalam, 2,388,614 pengundi di Selangor merupakan pemilih biasa, pengundi awal tentera, polis dan pasangan (25,462) dan pengundi tidak hadir luar negara (998).

Negeri kedua yang mempunyai jumlah pemilih berdaftar paling tinggi ialah Johor dengan 1,817,999 orang, diikuti Perak (1,510,864), Sarawak ( 1,220,960) dan Kedah (1,146,492).

Negeri dengan jumlah pengundi paling rendah ialah Wilayah Persekutua­n Putrajaya dengan 27,306, manakala Wilayah Persekutua­n Labuan (28,356) dan Perlis (150,221).

Daftar pemilih suku keempat 2017 yang menyenarai­kan 14,940,624 pengundi akan digunakan pada PRU14 melibatkan 7,557,187 pengundi wanita (50.58 peratus) dan 7,383,437 pengundi lelaki (49.42 peratus).

Dari segi kumpulan umur, statistik SPR menunjukka­n pengundi berusia 30 hingga 39 tahun mencatatka­n peratusan paling tinggi iaitu 23.92 peratus, diikuti mereka berusia 50 hingga 59 tahun (18.35 peratus) dan 21 hingga 29 tahun (17.02 peratus).

Sebanyak 0.45 peratus atau 66,831 orang adalah pengundi berusia 90 tahun ke atas, manakala kumpulan berusia 80 hingga 89 tahun pula 1.86 peratus atau 278,016 orang.

Jumlah kerusi yang dipertandi­ngkan pada pilihan raya umum kali ini masih kekal seperti PRU13 lepas iaitu 222 kerusi Parlimen dan 505 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Sementara itu, menurut SPR sebanyak 11 badan bukan kerajaan (NGO) dan tiga universiti tempatan telah ditawarkan menjadi pemerhati tempatan pada PRU14 melibatkan 1,089 orang yang akan memerhati di 182 kawasan Parlimen.

Bagi Semenanjun­g Malaysia, NGO dan universiti terlibat ialah Majlis Belia Malaysia, Persatuan Pengundi Wawasan Malaysia, Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Teknologi Mara, Universiti Kuala Lumpur dan Persatuan Orang Kota Bharu (OKB).

Menurut SPR, di Sarawak, enam NGO yang akan menjadi pemerhati ialah Persatuan Kebangsaan Melayu Sarawak, Persatuan Kebangsaan Orang Ulu Sarawak, Persatuan Kebangsaan Dayak Bidayuh, Sibu Chinese Chamber of Commerce and Industry, Persatuan Melanau Sibu dan Persatuan Cina Miri.

Sementara di Sabah, dua NGO yang menjadi pemerhati ialah Majlis Belia Sabah dan Dewan Perniagaan Bumiputera Sabah.

Bagi pemerhati luar negara, sebanyak tujuh negara yang mengesahka­n kehadiran setakat hari ini ialah Indonesia, Thailand, Maldives, Timor Leste, Azerbaijan, Kemboja dan Kyrgystan. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia