Utusan Borneo (Sarawak)

Ian tetap mempertaha­n aksi anak-anak buahnya

-

KUCHING: Ketua Jurulatih Sarawak, Ian Andrew Gillan tetap mempertaha­nkan aksi anak-anak buahnya meskipun sekadar menang tipis (1-0) ke atas skuad berstatus kelab - MISC-MIFA pada aksi Liga Premier 2018 di Stadium Negeri, Petra Jaya di sini petang kelmarin.

Ian berkata, MIFA sebuah pasukan yang sukar untuk ditewaskan kerana dibarisi ramai pemain berpengala­man dengan kemahiran tinggi.

Beliau juga memuji aksi pemain-pemainnya sepanjang perlawanan meskipun diberi tentangan sengit oleh pasukan pelawat.

“Saya tetap berpuas hati dengan keputusan ini dan persembaha­n pemain-pemain kita amatlah baik. Mereka bekerja dengan keras untuk menewaskan lawan dan sentiasa mencuba sebaik mungkin untuk memenangi bola.

“MIFA sebuah pasukan yang bagus dan bukan mudah untuk menewaskan mereka namun pemain-pemain kita berjaya memastikan tiga mata penuh milik Sarawak FA,” katanya ditemui selepas perlawanan di sini petang kelmarin.

Beliau turut memuji aksi penjaring gol tunggal, Bobby Gonzales sambil menyifatka­n kombinasin­ya bersama Mateo Roskam banyak memainkan peranan dalam mengucarka­cirkan pertahanan pasukan pelawat.

Malah, aksi pemain muda Jimmy Raymond, Mohd Aliff Hassan dan Nor Azizi Ramlee turut mendapat pujian daripada Ian kerana banyak menyumbang kepada kemenangan pasukannya.

“Saya mahu semua pemain mengekalka­n momentum seperti ini pada perlawanan seterusnya agar Sarawak Fa terus memberi tekanan dalam kelompok teratas sain- gan Liga Premier 2018 ini,” katanya.

Bobby menyelamat­kan maruah Sarawak FA dengan meledakkan gol kemenangan pada minit ke- 41 dengan melakukan percubaan dari jarak dekat terkena palang gol sebelum bola menerjah ke gawang lawan.

Tersentak dengan gol itu, anak-anak buah K Devan kembali menyusun rentak dan mempunyai beberapa peluang terbaik untuk menyamakan kedudukan.

Namun, kekentalan barisan pertahanan Sarawak diketuai kapten pasukan, Hairol Mokhtar sambil dibantu Milos Raickovic dan Ramesh Lai berjaya mematahkan percubaan berbahaya barisan pemain MIFA.

Sarawak akan meneruskan kempen Liga Premier 2018 menentang UKM FC di Stadium Negeri, Petra Jaya pada 14 April ini.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia