Utusan Borneo (Sarawak)

Promas akan bangunkan projek pertanian di Negeri Sembilan

-

KUALA LUMPUR: Persatuan Perniagaan Antarabang­sa Promas Malaysia (Promas) akan membangunk­an sebuah projek pertanian di daerah Johol, Negeri Sembilan, bermula Mei ini dengan pelaburan berjumlah RM20 juta.

Presidenny­a Datuk Chong Chong Tik berkata projek itu adalah di bawah usaha sama dengan Undang Luak Johol Datuk Johan Pahlawan Lela Perkasa Setiawan Muhammad Abdullah dan kedua-dua pihak bercadang menubuhkan sebuah syarikat bagi tujuan ini.

Projek itu akan dibangunka­n di kawasan seluas 404.69 hektar di daerah tersebut dalam tempoh lebih 10 tahun, katanya.

Chong berkata sebuah kilang pembuatan juga akan dibina bagi tujuan projek tersebut.

“Sebahagian besar daripada pelaburan disumbang oleh Promas. Produk pertanian seperti buahbuahan termasuk durian dan tanaman makanan tambahan kesihatan akan dieksport ke pasaran antarabang­sa,” katanya kepada pemberita selepas memeterai memorandum persefaham­an antara Promas dan Muhammad, di sini, semalam.

Promas dianggotai sebanyak 150 syarikat pembuatan tempatan.

Terdahulu, Chong dilantik sebagai Presiden Perintis bagi Silk Road Internatio­nal Exchange Associatio­n (SRIEA) cawangan Malaysia, manakala Muhammad dilantik sebagai Pengerusi Jawatankua­sa Pusat.

Pelantikan itu disaksikan Pentadbir Kewangan SRIEA, Li Peng.

SRIEA ialah sebuah persatuan yang berpangkal­an di Hong Kong dan ditubuhkan oleh beberapa syarikat korporat besar China susulan inisiatif Belt and Road.

Ia memiliki beberapa cawangan termasuk di China, Amerika Syarikat, United Kingdom, Australia dan Korea Selatan. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia