Utusan Borneo (Sarawak)

Lelaki disyaki ah long direman dua hari, bantu siasatan

-

MIRI: Seorang ah long yang ditangkap kerana disyaki menjalanka­n perniagaan memberi pinjaman wang secara haram diperintah­kan Mahkamah Majistret pagi semalam supaya direman dua hari untuk membantu siasatan lanjut polis.

Suspek, 27, dari Jalan Apollo Barat, Sibu diperintah­kan menjalani reman itu di lokap Balai Polis Pusat Miri mengikut peruntukan Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.

Terdahulu menurut keterangan pegawai penyiasat Sarjan Noor Aziela Abdul Muain dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Daerah Miri, suspek ditahan pada jam 11.30 pagi, 10 April lalu di kaki lima sebuah kedai makan di Jalan Kubu di sini berhubung satu laporan yang diterima pada hari berkenaan.

Semasa tangkapan dibuat, polis turut merampas 40 borang pinjaman kosong, empat borang pinjaman tertera nama empat individu, dua kad pembayaran tertera nama dua individu, satu pelekat tertera perkataan perkhidmat­an pinjaman atas nama suspek dan seorang lelaki lain berserta nombor telefon dan satu unit telefon bimbit milik suspek untuk dijadikan barang kes.

Berikutan itu, suspek ditahan mengikut Seksyen 5 (2) Akta Pemberi Pinjaman Wang 1951 dan dibawa ke Balai Polis Pusat Miri.

Dalam permohonan lanjutnya Aziela memberitah­u, reman empat hari ke atas suspek amat diperlukan untuk membolehka­n pihak polis melengkapk­an kertas siasatan serta mendapatka­n beberapa dokumen berkaitan daripada pihak bank dan tempat kegiatan itu dijalankan.

Bagaimanap­un, Penolong Pendaftar Mahkamah Rendah Md Syafique Md Hilmie yang mendengar kes itu hanya membenarka­n reman dua hari ke atas suspek dan tempoh reman akan tamat pada 13 April ini.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia