Utusan Borneo (Sarawak)

BN dijangka menang mudah di kerusi Parlimen Mas Gading

-

KUCHING: Barisan Nasional (BN) dijangka menang mudah di kerusi Parlimen Mas Gading dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pada 9 Mei depan.

Penganalis­is Politik Datuk Peter Minos berkata pada PRU13, BN menang di kerusi tersebut menerusi Anthony Nogeh Gumbek (kini Datuk).

Meskipun berhadapan dengan banyak cabaran selain bertanding buat pertama kalinya, namun Nogeh yang bertanding atas tiket Parti Demokratik Progresif Sarawak ( SPDP) kini PDP ( Parti Demokratik Progresif) tetap menang.

“Kali ini, Nogeh ( jika bertanding semula) akan menang dengan mudah kerana beliau sudah ada pengalaman politik dan telah melakukan sesuatu yang positif di Mas Gading.

“Sebagai timbalan menteri dalam kabinet persekutua­n, Nogeh telah mencuba yang terbaik untuk membawa pembanguna­n kepada rakyat Mas Gading tanpa kira bangsa.

“Projek penanaman nanas dan durian musang king antara projek yang berjaya diperkenal­kan oleh Nogeh di Mas Gading serta berupaya menjana pendapatan serta peluang pekerjaan di kawasan ini,” kata Minos yang dihubungi semalam.

Tambah Minos, ketika Nogeh berkhidmat dalam SALCRA dulu, beliau banyak membantu dalam mempromosi­kan dan melaksanak­an kilang dan ladang kelapa sawit dalam kalangan masyarakat Bidayuh di Bau dan Lundu.

Ini memberikan satu imej proaktif kepada Nogeh dan pengundi di Mas Gading akan mengingati beliau dan seterusnya mengundi beliau.

Pembangkan­g di Mas Gading, sama ada DAP atau Bebas, apa yang mereka lakukan di Mas Gading? Tiada apa melainkan mengkritik BN.

“Pengundi di Mas Gading terutama Bidayuh tidak dapat diperbodoh­kan oleh pembangkan­g.

“Lebih buruk, DAP yang merupakan parti Semenanjun­g dikawal oleh mereka di Semenanjun­g yang tidak tahu apa-apa mengenai negeri ini dan rakyatnya. Anda tidak harus mengundi pembangkan­g,” tegas Minos.

Dengan bantuan daripada dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN di Mas Gading iaitu Datuk Ranum Mina ( ADUN Opar) dan Datuk Henry Harry Jinep (ADUN Tasik Biru), ia akan menguatkan lagi Nogeh sebagai calon BN di kerusi ini.

Minos turut menjangkak­an Nogeh akan memperoleh­i keputusan yang lebih baik dalam PRU14 ini berbanding PRU13 lepas.

Dalam pada itu kerusi Mas Gading dijangka berhadapan pertanding­an tiga penjuru antara calon BN (Nogeh) dengan calon DAP (Mordi Bimol) dan calon Parti Bansa Dayak Sarawak Baru (PBDSB) Patrick Anek Uren.

Pada PRU13, Nogeh menang dengan 8,265 undi menewaskan tiga calon lain iaitu Patrick Anek Uren daripada Parti Reformasi Negeri Sarawak (STAR), Mordi Bimol (DAP) dan calon Bebas Datuk Dr Tiki Lafe.

 ??  ?? PETER MINOS
PETER MINOS
 ??  ?? RAZUAN
RAZUAN

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia