Utusan Borneo (Sarawak)

Penetapan mengundi pada hari Rabu mendapat pelbagai reaksi

-

KUCHING: Penetapan tarikh mengundi 9 Mei iaitu jatuh pada hari Rabu sempena Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) yang dibuat Suruhanjay­a Pilihan Raya (SPR) kelmarin mendapat pelbagai reaksi daripada kalangan pengundi di negeri ini.

Tinjauan Utusan Borneo di sekitar bandar raya ini semalam, mendapati terdapat para pengundi menyokong dan membantah tarikh tersebut.

Menurut Eksekutif Open University Malaysia (OUM) Bintulu Mohammad Taufik Zaini, 30, dari Kampung Mang, Kota Samarahan, sudah menjadi tanggungja­wab sebagai pengundi untuk menjalanka­n tugas yang hanya dilakukan lima tahun sekali.

“Kalau kita hendak tunggu semua orang cuti, bilakah hari tersebut? Sabtu dan Ahad pun masih ramai yang bekerja dan tidak bercuti.

“Ia terpulang kepada diri kita sendiri sama ada sanggup memohon cuti untuk menjalanka­n tanggungja­wab kita sebagai pengundi atau tidak,” katanya.

Tambahnya, SPR sudah menetapkan tarikh mengundi dan sebagai pengundi hendaklah patuh pada penetapan tersebut.

“Apabila ditetapkan pada hari Sabtu atau Ahad, pasti ada juga yang akan mengecam, kerana kita tidak dapat memuaskan hati semua orang,” katanya.

Pandangan yang sama turut dilontarka­n seorang peniaga, Nazirol Sama’ail yang memberitah­u bahawa dia tidak mempunyai masalah tentang penetapan tarikh tersebut yang jatuh pada hari Rabu.

“Tanggungja­wab menentukan tarikh itu terletak pada SPR dan tanggungja­wab kita pula sebagai pengundi adalah turun mengundi pada tarikh yang telah ditetapkan itu.

“Setiap orang, setiap jabatan ada tanggungja­wab masingmasi­ng, jadi kita harus ikut dan jalankan tanggungja­wab kita,” tegasnya.

Manakala seorang lagi, jururawat dari Klinik Kesihatan Sadong Jaya Shafinah Sopi-ee berkata, tarikh tersebut sesuai dan tidak mengganggu hari berehat pada hujung minggu.

“Jika cuti peristiwa itu untuk semua kakitangan kerajaan pada hari tersebut adalah lebih baik lagi kerana tidak perlu memohon cuti dan sebagainya,” jelasnya.

Sementara itu, penolong eksekutif di sebuah badan berkanun kerajaan, Razuan Ramlee tidak bersetuju dengan penetapan tarikh tersebut.

Tegasnya, tarikh tersebut tidak sesuai memandangk­an ia adalah hari bekerja dan sudah pasti menyukarka­n pengundi terutama yang berkerja di luar kawasan tempat membuang undi.

“Bagi mereka yang bekerja di tempat asal mungkin tidak menjadi masalah, tetapi bagi pengundi bekerja di luar kawasan sudah pasti menyukarka­n mereka untuk pulang mengundi,” jelasnya.

Luahan yang sama disuarakan Amanda Nayra, 29, yang merupakan sukarelawa­n pertubuhan bukan kerajaan berasaskan alam sekitar yang berasal dari Sabah tetapi bertugas di negeri ini.

“Pada pandangan saya tarikh tersebut tidak bersesuaia­n kerana ia hari bekerja ditambah pula pertengaha­n minggu dan sukar untuk orang memohon cuti. Kalau hendak cuti pun terpaksa mengambil cuti yang panjang,” ujarnya.

Manakala seorang kakitangan swasta, Othman Hassan, 60, yang berasal dari Sibu, berkata penetapan tarikh mengundi itu tidak sesuai bagi golongan yang bekerja di luar tempat asal.

“Tidak sesuai kerana hari tersebut hari bekerja dan sukar untuk orang seperti saya pulang mengundi di Sibu kerana jauh,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia