Suami isteri didakwa kemukakan invois palsu berjumlah RM91,500
KUALA LUMPUR: Sepasang suami isteri mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen semalam atas pertuduhan mengemukakan invois mengandungi butiran palsu berhubung pembekalan cenderahati berjumlah RM91,500, tahun lepas.
Mohd Raji@Mohd Radzi Kasdi, 51, seorang kakitangan pihak berkuasa tempatan dan Norlela Surip, 49, bekas kerani di Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Azura Alwi selepas pertuduhan dibacakan.
Mohd Raji@Mohd Radzi didakwa mengemukakan invois yang mengandungi butiran palsu daripada syarikatnya iaitu Nadzwa Resources berjumlah RM42,000 kepada seorang pengurus cawangan ( Pentadbiran Am) Bahagian khidmat Pengurusan di PERKESO bagi membekalkan dan menghantar cenderahati.
Dia dituduh berniat mem- perdayakan pengurus berkenaan di cawangan Pentadbiran Am, Bahagian Khidmat Pengurusan, Menara PERKESO, di sini pada 23 Jan 2017 manakala Norlela pula didakwa bersubahat dengan suaminya melakukan perbuatan serupa di tempat dan tarikh sama.
Mereka juga menghadapi tuduhan bersama-sama mengemukakan invois yang mengandungi butiran palsu daripada syarikat M’Dia Enterprise berjumlah RM49,500 bagi membekal dan menghantar gambar berserta bingkai kayu, kepada pengurus sama di PERKESO pada 27 Jan 2017.
Bagi kesemua pertuduhan itu, mereka didakwa di bawah Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta serupa yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai butir matan atau RM10,000, mengikut manamana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya SPRM Amira Sariaty Zainal menawarkan jaminan RM50,000 bagi setiap tertuduh untuk kesemua pertuduhan manakala kedua-dua tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon jaminan rendah kerana mereka menanggung anak yang masih bersekolah.
Mahkamah membenarkan jaminan RM25,000 bagi setiap tertuduh untuk kesemua pertuduhan dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan iaitu menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah sehingga kes selesai.
Mahkamah juga menetapkan 10 Mei untuk sebutan semula kes. — Bernama