Utusan Borneo (Sarawak)

Polis Selangor bongkar kegiatan tuntut insurans palsu

-

KUALA LUMPUR: Kegiatan satu sindiket yang aktif membuat tuntutan insurans palsu sejak dua tahun lepas terbongkar apabila 16 individu termasuk enam anggota polis yang bersekongk­ol dengan sindiket itu ditahan dalam satu operasi yang dijalankan oleh pasukan dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor.

Ketua Polis Selangor Datuk Seri Mazlan Mansor berkata dalam operasi Lejang PIAM 2018 di Gombak pada 14 Mac lepas polis turut menahan dalang sindiket itu yang berusia 34 tahun berasal dari Kampung Baru Subang serta seorang lelaki yang merupakan orang kanannya berusia 30 tahun dari Sungai Buloh.

Beliau berkata pemeriksaa­n mendapati dalang sindiket itu yang juga kontraktor pembinaan mempunyai dua rekod lampau pada 2013 mengikut Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

“Dalam operasi itu polis merampas 36 buah kenderaan pelbagai jenis serta 12 dokumen perakuan pendaftara­n kenderaan. Kegiatan penipuan itu membabitka­n kerugian sebanyak RM2.9 juta,” katanya kepada media di sini.

Mazlan berkata modus operandi sindiket itu ialah dengan membuat laporan polis palsu bagi memaklumka­n tentang kecurian atau kehilangan kenderaan sebelum membuat tuntutan kepada syarikat insurans dengan bantuan anggota dan pegawai polis berkenaan.

Katanya kenderaan berkenaan kemudianny­a akan didaftarka­n dan dijual semula dengan bantuan beberapa individu di beberapa agensi kerajaan yang turut terlibat dalam kegiatan tersebut.

“Kertas siasatan telah dirujuk kepada pihak Pendakwa Raya dan dalang utama serta orang kanannya akan dituduh di Mahkamah Majistret Selayang esok (hari ini) manakala anggota sindiket lain serta anggota serta pegawai polis terlibat akan dituduh secepat mungkin,” katanya.

Mazlan berkata, suspek utama berdepan 35 pertuduhan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan (KK), Seksyen 420/511 KK dan Seksyen 89 Akta Polis 1967 sementara orang kanannya pula berdepan sembilan pertuduhan mengikut Seksyen 420/511 KK dibaca bersama Seksyen 34 KK, Seksyen 420/511 KK dan Seksyen 6 (1) Akta Bahan Lusuh.

Katanya pertuduhan lanjut ke atas anggota sindiket, pegawai polis dan agensi lain yang terbabit akan dilakukan secara berperingk­at mengikut Seksyen 420/119 KK (penipuan dan subahat oleh penjawat awam), Seksyen 201 (melupuskan keterangan dalam siasatan), Seksyen 468 KK (pemalsuan dokumen) dan Seksyen 474 KK (memiliki dokumen bagi tujuan penipuan). — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia