Utusan Borneo (Sarawak)

Warga emas hilang ketika jerat binatang di hutan

-

LUMUT: Seorang lelaki warga emas dikhuatiri hilang selepas keluar untuk menjerat binatang di hutan berhampira­n Teluk Rubiah, Seri Manjung di sini, sejak empat hari lepas.

Mangsa, Ho Tong Chim, 89, yang tinggal di Kampung Dato’ Seri Kamaruddin (KDSK), di sini, difahamkan ke lokasi kejadian sebelum didapati tidak pulang ke rumah hingga jam 9.45 malam, Ahad lepas dan setakat jam 11.30 pagi semalam, beliau masih belum ditemui.

Anak mangsa, Ho Yong Ming, 50, berkata, bapanya yang mempunyai masalah ingatan dan pendengara­n, selain menghidap penyakit batu karang itu keluar dari rumah pada jam 2.30 petang untuk ke hutan dengan menaiki motosikal jenis Honda EX5.

“Sebenarnya bapa saya su- dah lima bulan tidak menjerat dan semasa saya ke rumahnya pada petang Ahad, dia hanya beritahu mahu keluar sahaja, namun selepas dua jam bapa masih tidak pulang.

“Saya dan beberapa rakan terus ke hutan dan menemukan motosikal bapa di hutan itu, namun bapa masih belum dijumpai,” katanya ketika ditemui di pos operasi pasukan penyelamat di sini, semalam.

Berikutan itu,Yong Min telah membuat laporan polis bagi mendapatka­n bantuan lanjut dan satu gerakan mencari dan menyelamat dilancarka­n pasukan Bomba dan Penyelamat Seri Manjung bersama pihak polis.

Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Seri Manjung, Shuib Idris berkata, radius pencarian mangsa telah diluaskan hingga dua kilometer dari lokasi mangsa dipercayai hilang dan setakat ini, tiada petunjuk baharu ditemukan hingga jam 12 tengah hari semalam.

Beliau berkata, pihaknya turut menjumpai beberapa kesan tapak kaki, namun tidak boleh dipastikan sama ada ia adalah tapak kaki mangsa.

“Operasi menumpukan pencarian di kawasan denai dan lereng, juga lokasi yang mangsa sering pergi menjerat, selain kita juga perluaskan di kawasan bukit.

“Jerat baharu juga tidak ditemukan, selain tiada barang mangsa yang dijumpai dan operasi ini turut dibantu dua anak lelakinya bersama pasukan penyelamat,” katanya.

Katanya, operasi mencari itu melibatkan 122 anggota daripada pasukan bomba, polis, Angkatan Pertahanan Awam, RELA dan orang awam. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia