Utusan Borneo (Sarawak)

Susulan skuad elit SAS dituduh bunuh enam orang awam, termasuk seorang kanak-kanak, pada 2010

-

WELLINGTON: New Zealand mengarahka­n siasatan peringkat tertinggi semalam mengenai tuduhan bahawa pasukan tentera khasnya telah membunuh enam orang awam, termasuk seorang kanak-kanak berusia tiga tahun, semasa satu serbuan gagal pada 2010 ke atas sebuah perkampung­an Afghan.

Pihak tentera New Zealand telah menafikan sepenuhnya tuduhan itu, yang muncul pertama kali dalam buku bertajuk “Hit and Run” diterbitka­n pada tahun lepas.

Buku itu mendakwa sebuah skuad elit SAS melakukan serbuan untuk “membalas dendam” selepas seorang anggota tentera New Zealand terbunuh, namun kegagalan perisikan bermakna ia telah menyasarka­n penduduk kampung dan bukannya pengganas.

Ia turut mendakwa pihak tentera menutupi serbuan gagal itu, dengan berbohong bahawa sembilan pengganas terbunuh apabila ia mengetahui perkara sebenarnya.

Parti Buruh yang berhaluan kiri memohon bagi satu siasatan bebas ketika masih menjadi pembangkan­g dan Peguam Negara David Parker telah meneliti semula kes selepas kemenangan pilihan raya pada tahun lepas.

Semalam Parker melantik bekas perdana menteri Geoffrey Palmer dan hakim Mahkamah Agung Terence Arnold untuk mengetuai siasatan.

“Selalu ingat mengenai perlunya orang awam untuk mempunyai keyakinan terhadap NZDF, saya telah memutuskan demi kepentinga­n umum supaya satu siasatan dilakukan,” jelas beliau.

Parker berkata, beliau telah melihat video serbuan itu yang mencadangk­an terdapat “individu bersenjata” di dalam kampung namun raka- man tidak konklusif, maka perlu dilakukan siasatan.

Ia akan memeriksa tindakan anggota tentera semasa serbuan, sama ada mereka yang terkorban adalah pengganas atau orang awam dan ketepatan taklimat tentera yang diberikan kepada orang awam dan kerajaan.

Ia dijangka akan mengambil masa sehingga setahun.

Ketua Pasukan Tentera New Zealand, Leftenan Jeneral Tim Keating berkata, beliau mempertaha­nkan kenyataan awal mengenai serbuan itu.

“Pada masa sepanjang operasi ini NZSAS kami telah bertindak secara profesiona­l dan meletakkan diri mereka pada tahap yang tinggi dijangkaka­n terhadap pasukan tentera khas kami,” katanya.

New Zealand telah menghantar satu pasukan pembinaan semula dan satu kontinjen pasukan tentera khas yang kecil bagi menyertai operasi diketuai oleh NATO di Afghanista­n pada 2003. Pada awal Ogos 2010, leftenan Tim O’Donnell menjadi orang pertama daripada 10 kematian tentera New Zealand di Afghanista­n apabila pasukan perondanya terkena bom tepi jalan.

Serbuan SAS di wilayah utara Baghlan, dengan bantuan helikopter Amerika Syarikat, berlaku kira-kira dua minggu kemudian pada 22 Ogos.

Dalam beberapa hari berikutnya, Mohammad Ismail, seorang ketua daerah Tala Wa Barfak, di mana insiden berlaku, memberitah­u AFP bahawa lapan orang terkorban dalam serbuan, semuanya orang awam.

Tentera New Zealand pada mulanya berdiam diri mengenai penglibata­nnya, kemudian berkata sembilan pengganas terbunuh dan tiada orang awam yang terjejas. — AFP

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia