Utusan Borneo (Sarawak)

Lebih sejuta pemilih berdaftar untuk PRU14

-

KOTA KINABALU: Jumlah pemilih berdaftar di Sabah meningkat kepada 1,117,337 pada Pilihan Raya Umum (PRU) kali ini berbanding 982,644 orang pada PRU13, manakala pengundi di Labuan pula meningkat kepada 28,356 berbanding 24,497 pada pilihan raya lalu.

Pengarah Suruhanjay­a Pilihan Raya (SPR) Sabah Rohiman Sahia berkata seramai 19,792 petugas SPR akan ditempatka­n di Sabah dan 458 di Labuan melibatkan 810 pusat mengundi merangkumi 25 kerusi parlimen dan 60 kerusi Dewan Undangan Negeri di Sabah serta satu kerusi parlimen di Labuan.

“Dari segi logistik, kami sudah bersedia termasuk penggunaan helikopter untuk 10 kawasan parlimen di kawasan pedalaman serta penggunaan bot seperti di Kudat, Semporna, Beluran dan beberapa kawasan lain di pedalaman,” katanya kepada pemberita selepas menyampaik­an writ dan watikah pelantikan Pegawai Pengurus PRU14 di Sabah dan Labuan, di sini semalam.

Rohiman berkata, pihaknya belum menerima jumlah pengundi pos memandangk­an proses pendaftara­n masih berjalan.

Katanya, tarikh tutup pendaftara­n bagi pengundi pos kategori 1A ialah pada 28 April ini manakala bagi kategori 1C ialah pada 23 April.

Kategori 1A melibatkan petugas pilihan raya, polis, tentera dan petugas media manakala kategori 1C melibatkan anggota sembilan jabatan dan agensi yang layak mengundi dan disahkan majikan perlu bertugas pada hari mengundi.

Jabatan dan agensi berkenaan ialah petugas Agensi Penguatkua­saan Maritim Malaysia, Jabatan Penjara,Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Kesihatan ( hospital dan klinik kerajaan sahaja), Sukarelawa­n Polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia ( APM), Jabatan Imigresen, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan Jabatan Pendaftara­n Negara (yang bertugas di Pusat Transforma­si Bandar sahaja). — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia