Utusan Borneo (Sarawak)

PBS tolak cadangan pinjam kerusi DUN Matunggong kepada UMNO

-

KOTA KINABALU: Parti Bersatu Sabah (PBS) Bahagian Matunggong menolak sekerasker­asnya cadangan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid supaya PBS meminjamka­n kerusi bahagian itu pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Keputusan itu dibuat selepas mengambil kira undian jawatankua­sa PBS Bahagian Matunggong dan ia turut disokong oleh sayap pemuda dan wanita semasa mesyuarat tergempar yang diadakan pada Selasa.

PBS Bahagian Matunggong menyifatka­n cadangan itu sebagai ‘tidak sesuai dan tidak masuk akal’.

Ketua Bahagian PBS Matunggong Sarapin Magana berkata pengumuman yang dibuat Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid itu menunjukka­n ketamakan parti (UMNO).

Beliau membuat pengumuman itu di atas pentas, di hadapan orang awam serta di depan kepimpinan tertinggi PBS, Presiden Tan Sri Joseph Pairin Kitingan dan Timbalan Presiden Datuk Seri Dr Maximus Ongkili.

“Tindakan beliau (Ahmad Zahid) membuat pengumuman seumpama itu amat tidak sesuai. Ia menunjukka­n betapa tamaknya mereka.

“Bagaimana seseorang boleh mengemukak­an cadangan untuk mengambil kerusi parti lain tanpa perlu berbincang terlebih dahulu. Maka jawapan kepada pemintaan itu adalah tidak,” jelasnya.

Sarapin berkata, Ahmad Zahid sudah melebihi jawatan politiknya kerana perkara berkaitan kuota kerusi dan pembahagia­n kerusi di Sabah ini adalah di bawah bidang kuasa Tan Sri Musa Aman selaku pengerusi BN Sabah.

“Perjanjian sudah dibuat bahawa semua kuota kerusi komponen dan pembahagia­n akan kekal seperti sedia kala. Maka, tidak seharusnya ada gangguan yang akan membawa kepada ketidaksta­bilan dalam komponen BN,” katanya.

Menurutnya, Matunggong adalah kubu tradisi PBS dan ia akan kekal sebagai salah satu daripada 13 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) PBS dalam PRU14.

Pada PRU lepas, calon BN kehilangan kerusi Matunggong setelah kalah kepada Datuk Jelani Hamdan yang bertanding di bawah payung Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Beliau berkata kepimpinan parti memberi jaminan bahawa semua kerusi dikekalkan memandangk­an tiada kerusi tambahan dalam PRU14.

“Ia (kekalahan itu) adalah pengalaman pahit buat kita. Apa yang membuatkan keadaan lebih teruk adalah kita kalah disebabkan unsur sabotaj daripada komponen BN iaitu UMNO, yang meletakkan bekas ahli UMNO untuk bertanding menentang kami.

“Jadi, untuk mereka meminta kerusi Matunggong, ia tidak masuk akal. Kita kehilangan kerusi itu disebabkan sabotaj dalam kalangan parti komponen sendiri. Jika cadangan itu diteruskan, PBS akan mengibarka­n bendera sendiri semasa PRU14,” jelasnya.

Ahmad Zahid membuat pengumuman itu dalam satu perjumpaan yang diadakan di Matunggong pada Isnin. Dalam ucapannya beliau mencadangk­an agar kerusi Matunggong dipinjamka­n kepada UMNO pada PRU14, dengan menyatakan ia sebagai formula untuk memenangi semula kerusi itu.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia