Utusan Borneo (Sarawak)

Dipenjara 44 bulan kerana pecah masuk pejabat dan mencuri

-

KOTA KINABALU: Seorang lelaki dikenakan penjara 44 bulan, oleh Mahkamah Majistret di sini, atas kesalahan pecah masuk ke dalam sebuah pejabat dan mencuri.

Euliam Kimus dijatuhkan hukuman itu oleh Majistret Cindy Mc Juce Balitus selepas mengaku bersalah untuk keduadua pertuduhan terbabit.

Tertuduh yang disabitkan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan, dikenakan penjara 28 bulan kerana memecah masuk ke dalam sebuah pejabat.

Semasa melakukan kesalahan itu, tertuduh mencuri sebuah komputer riba berserta pengecas, pada 26 Mac antara jam 5 petang hingga jam 7 malam, di Jalan Tuaran, di sini.

Mengikut fakta kes, semasa pengadu tiba di pejabat, beliau mendapati keadaan berselerak dan tingkap terbuka.

Pengadu juga mendapati beberapa barang yang hilang, disyaki suspek masuk melalui tingkap yang tidak berkunci.

Untuk pertuduhan mengikut Seksyen 380 kanun sama, Euliam dikenakan penjara 16 bulan, kerana mencuri dua telefon pintar dan kad IMM13 milik seorang lelaki.

Kesalahan dilakukan pada 29 Mac di sebuah rumah kongsi, Tanjung Aru, di sini.

Pada hari kejadian, pengadu mendapati rumah dimasuki pencuri ketika sedang tidur, kerana lupa mengunci pintu utama.

Tiada kesan pecah masuk ke dalam rumah, disyaki suspek masuk melalui pintu dan beberapa barangan hilang.

Tertuduh yang menunggang motosikal berjaya ditangkap polis, pada 29 Mac kira-kira jam 7.30 malam di hadapan sebuah restoran, di sini.

Ketika rayuan, Euliam yang tidak memiliki dokumen diri memohon kedua-dua hukuman pemenjaraa­nnya berjalan serentak.

Pegawai Pendakwa Insp Albert Basirin meminta hukuman setimpal dikenakan terhadap tertuduh.

Sementara itu, Cindy menetapkan pada 7 Mei untuk sebutan semula kes terhadap tertuduh yang juga didakwa menggunaka­n dadah, mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia