Utusan Borneo (Sarawak)

Abang Johari tempelak janji PH beri 20% royalti minyak dan gas

-

KOTA SAMARAHAN: Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg menempelak janji yang dibuat oleh Pakatan Harapan (PH) untuk memberikan 20 peratus bayaran royalti minyak dan gas kepada negeri ini.

Abang Johari yang juga pengerusi Barisan Nasional (BN) Sarawak berkata bayaran 20 peratus royalti minyak dan gas ini sepatutnya dibuat oleh Pengerusi PH Kebangsaan Tun Dr Mahathir Mohamad 22 tahun lalu ketika beliau menjadi perdana menteri.

“Hari ini saya dengar mereka (PH) mahu mengembali­kan 50 peratus daripada kutipan cukai dari Sarawak kepada kita. Mengapa tidak dari dulu lagi beliau (Tun M) berbuat demikian.

“Sekarang, sebab mahu minta undi baharu mahu bagi 50 peratus kutipan cukai dan 20 peratus bayaran royalti minyak dan gas kepada kita,” katanya ketika berucap pada Majlis Penutup Program Sijil Tadbir Urus Desa 2018 Zon Sarawak di Dewan DeTAR Putra, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) di sini semalam.

Pada majlis itu Abang Johari turut menempelak Tun Dr Mahathir kerana menuduh rakyat negeri ini sebagai tamak, lembap dan pemalas.

“Dia kata rakyat negeri tamak, lembap dan malas. Yang malasnya adalah Tun M sendiri. Dulu ketika menjadi perdana menteri, tidak mahu datang ke Sarawak.

“Jika Tun M rajin, 22 tahun yang lalu sudah tentu Lebuh Raya Pan Borneo sudah siap,” katanya.

Sehubungan itu Abang Johari meminta rakyat negeri ini tidak memberi undi kepada parti di bawah pimpinan bekas perdana menteri tersebut.

Abang Johari turut yakin Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan berpegang pada janjinya kepada negeri ini lebih-lebih lagi berhubung Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Saya pegang dengan Najib mengenai MA63, jika tidak saya akan cari Najib,” kata Abang Johari di hadapan lebih 1,000 ketua masyarakat dan ketua kaum yang menyertai program tersebut.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia