Utusan Borneo (Sarawak)

Wanita BN Sarawak berikrar pastikan kemenangan bergaya calon BN

-

KOTA SAMARAHAN: Wanita Barisan Nasional (BN) Sarawak berikrar akan bersama dan bersatu memastikan kemenangan bergaya kepada calon BN pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Ketua Wanita BN Sarawak Dato Sri Fatimah Abdullah berkata ia adalah antara inti pati Akujanji Wanita BN pada PRU14.

“Akujanji Wanita BN antaranya bekerja sebagai satu pasukan padu dalam BN yang saling melengkapi dan menyokong demi kemenangan bergaya.

“Wanita BN berganding bahu dan bekerjasam­a dengan Pemuda dan badan induk untuk memastikan 25 kerusi yang dimenangi pada PRU13 kekal.

“Selain akan pertahanka­n, empat lagi kerusi kita tawan, agar sasaran 29/ 31 kerusi Parlimen Sarawak menjadi milik BN dan Sarawak menjadi kubu kuat BN,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jentera PRU14 Wanita BN Sarawak yang disempurna­kan Ketua Menteri merangkap Pengerusi BN Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg di Dewan Suarah Kota Samarahan di sini, semalam.

Katanya selain itu, wanita juga akan menjejaki pengundi dan mengkaji sikap mereka melalui Jalinan Rakyat Plus ( JR+) supaya perkhidmat­an yang diberi menepati kehendak dan memenuhi aspirasi rakyat.

Fatimah berkata bagi menguatkan lagi jentera, sayap Wanita BN akan turun padang memberi khidmat bakti dan mendekati rakyat.

“Kami akan terus berusaha menyalakan obor keyakinan dan kepercayaa­n terhadap kemampuan BN.

“Ia supaya semangat wanita yang berkobar-kobar terus memberi semarak dan memberi sinar harapan kepada satu hasrat serta satu matlamat, iaitu semua calon BN termasuk wanita menang bergaya,” katanya.

Majlis dihadiri Timbalan Ketua Menteri merangkap Pengarah Operasi PRU14 Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Datuk Amar James Masing.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia