Utusan Borneo (Sarawak)

KPDNKK Johor rampas LPG bernilai RM105,928

-

JOHOR BAHRU: Kementeria­n Perdaganga­n Dalam Negeri Koperasi Dan Kepengguna­an Negeri (KPDNKK) Johor merampas barang kawalan bersubsidi Gas Petroleum Cecair (LPG) bernilai RM105,928 dalam dua serbuan berasingan di dua premis sekitar bandar raya baru-baru ini.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDNKK negeri Aris Mamat berkata serbuan pada 5 dan 11 April atas keduadua premis itu yang disyaki melakukan penyelewen­gan dalam kegiatan perdaganga­n barang kawalan berkenaan adalah hasil maklumat orang awam.

Beliau berkata pemeriksaa­n lanjut di kedua-dua premis itu mendapati sejumlah LPG ditemukan, selain pemilik premis gagal mengemukak­an sebarang lesen atau permit kebenaran menyimpan dan berurusan dengan barang kawalan berkenaan

“Dalam serbuan pada 5 April di Taman Gembira, kita berjaya merampas sebanyak 115 unit LPG isi padu 12kg, 236 unit LPG isi padu 14kg, 82 unit LPG isi padu 50kg selain dokumen perniagaan serta invois belian.

“Sementara itu, serbuan di premis di Jalan Saleng pada 11 April pula menemui sebanyak 192 unit LPG isi padu 12kg, 85 unit LPG isi padu 14kg, 103 unit isi padu 50kg, sebuah lori, alat timbang, hos getah dan dokumen perniagaan serta invois,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Aris berkata kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 iaitu memiliki barang kawalan LPG dalam keadaan yang menimbulka­n syak munasabah untuk melakukan kesalahan.

Bagaimanap­un bagi kesalahan yang dilakukan menerusi Akta Kawalan Bekalan 1961, pesalah juga boleh dihukum mengikut Seksyen 22 Akta Kawalan Bekalan 1961.

“Jika sabit kesalahan bagi individu, mereka boleh didenda tidak lebih RM1 juta atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya. Jika kesalahan berulang dan seterusnya, boleh didenda tidak lebih RM3 juta atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya,” katanya.

Beliau berkata manakala bagi syarikat perbadanan, jika disabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM2 juta dan jika kesalahan berulang dan seterusnya boleh didenda tidak lebih RM5 juta. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia