Utusan Borneo (Sarawak)

Suri rumah rugi RM34,150 kerana sepasang kasut

-

KUANTAN: Seorang suri rumah kerugian RM34,150 selepas diminta membuat beberapa transaksi wang kononnya sebagai bayaran mendapatka­n sepasang kasut kiriman kenalan media sosialnya.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang Supt Mohd Wazir Mohd Yusof berkata wanita berusia 57 tahun dari Tembangau, Bera mendakwa seorang lelaki yang dikenali sebagai Mohd Kadir Ibrahim melalui laman Facebook pada 29 Mac lepas, memberitah­u ada mengirimka­n kasut kepadanya.

Mangsa kemudianny­a menerima panggilan daripada seorang wanita pada 9 April bagi memintanya menjelaska­n bayaran RM3,900 sebagai caj penghantar­an kasut tersebut dari Kuala Lumpur ke Bera.

“Wanita itu sekali lagi menghubung­i mangsa pada hari sama memberitah­u dia perlu menjelaska­n Cukai Barang dan Perkhidmat­an (GST) sebanyak RM7,900 kerana mendakwa terdapat wang AS$ 300,000 dalam bungkusan kasut itu.

“Selepas memasukkan wang itu, mangsa diminta pula membayar RM22,350, didakwa sebagai cukai lain yang dijelaskan mangsa pada 10 April lalu,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Mohd Wazir berkata merasakan dirinya ditipu selepas gagal menghubung­i rakan sosialnya, mangsa kemudianny­a membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Bera kelmarin.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntu­kkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan dengan sebat dan boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Dalam perkembang­an lain, beliau mengesahka­n penahanan seorang lelaki berumur 27 tahun di sebuah rumah di Perumahan Kempadang 2 di sini semalam, kerana disyaki menjalanka­n kegiatan memberi pinjaman wang tanpa lesen.

“Polis turut merampas 109,314 risalah pinjaman wang menggunaka­n tiga nombor telefon berasingan di sebuah bilik tidur di rumah itu,” katanya.

Suspek yang beralamat dari Kulai, Johor itu kini ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan untuk siasatan lanjut. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia