Utusan Borneo (Sarawak)

Sevilla gagal halang Bayern melangkah ke separuh akhir

-

MUNICH, Jerman: Bayern Munich melangkah ke separuh akhir Liga Juara-Juara walaupun diikat tanpa jaringan oleh Sevilla, yang menamatkan permainan dengan 10 pemain pada perlawanan suku akhir kedua di sini Rabu lepas.

Bayern mara ke separuh akhir buat kali ketujuh dalam sembilan musim dengan kemenangan agregat 2-1 selepas menang di Sepanyol minggu lepas.

“Sevilla adalah pasukan yang bagus – untuk begitu lama kami gagal mengawal bahagian tengah tetapi kami menghalang mereka dari menjaringk­an gol dan ia adalah sesuatu yang sangat penting,” kata pemain sayap Bayern, Arjen Robben.

Impian Sevilla untuk melangkah ke separuh akhir yang pertama mereka pada kejohanan ini berakhir walaupun mengekang asakan Bayern, yang hanya menguasai 51 peratus permainan.

“Saya berasa bangga dengan pasukan saya, mereka menunjukka­n personalit­i dan karektor yang hebat menentang lawan yang sangat kuat, ia bukannya mudah,” kata jurulatih Sevilla, Vincenzo Montella.

“Kami boleh berasa bangga dengan apa yang telah kami lakukan di sini dan sepanjang kempen ini.”

Pertahanan Sevilla mengawal penyerang utama Bayern, Robert Lewandowsk­i, yang gagal menambah 35 gol beliau musim ini walaupun Bayern mempunyai lebih banyak peluang.

Sevilla menamatkan permainan dengan kurang seorang pemain selepas Joaquin Correa, yang dibuang padang ekoran kekasaran ke atas Javi Martinez.

Selepas Barcelona dan Manchester City – masing-masing pendahulu liga domestik di Sepanyol dan England – tersingkir pada hari Selasa, Bayern kini adalah pasukan tunggal yang mampu memenangi tiga kejuaraan musim ini.

Mereka mengesahka­n kejuaraan Bundesliga Jerman Sabtu lepas dan melangkah ke separuh akhir Piala Jerman.

Lewandowsk­i diasak teruk dengan pemain pertahanan tengah Sevilla, Gabriel Mercado dilayangka­n kad kuning seawal minit kedua selepas mengasari Lewandowsk­i.

Lewandowsk­i kemudian menguji penjaga gol Sevilla, David Soria pada minit ketujuh.

Sevilla memerlukan sekurang-kurangnya dua gol dan mula melakukan serangan dengan cubaan Pablo Sarabia sedikit tinggi.

Franck Ribery mensia-siakan peluang terbaik Bayern dalam separuh masa pertama apabila rembatanny­a tepat ke arah Soria, yang menepis keluar bola.

Kedua-dua pasukan terus gagal mencari ruang dan keputusan seri tanpa jaringan itu memberikan kemenangan agregat kepada Bayern. — AFP

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia