Utusan Borneo (Sarawak)

Lompat kijang: Hakimi ke final, catat 16.36m pada pusingan saringan

-

GOLD COAST: Atlet olahraga negara, Muhammad Hakimi Ismail mencatatka­n lompatan sejauh 16.36m pada pusingan saringan lompat kijang untuk mara ke final acara itu di Sukan Komanwel Gold Coast.

Pada aksi di Carrara Sports and Leisure Centre, raja lompat kijang Asia Tenggara itu bagaimanap­un tidak menampilka­n prestasi terbaiknya apabila masih jauh dengan catatan peribadi terbaik yang juga rekod kebangsaan miliknya iaitu 16.77m pada Sukan SEA ke-29 Kuala Lumpur 2017 (KL2017).

Catatan itu meletakkan­nya sebagai atlet keempat daripada 12 peserta terbaik, sekali gus melayakkan­nya ke pentas final esok.

“Segalanya berjalan dengan baik dan saya berpuas hati dengan lompatan yang dilakukan hari ini ( semalam). Misi saya hari ini (semalam) sudah selesai (ke final), namun kena bersedia untuk final.

“Saya akan memberikan aksi sebaik mungkin pada final nanti, namun sekarang saya perlu rehat secukupnya dan lakukan proses pemulihan agar dapat mencapai tahap maksimum,” katanya selepas tamat perlawanan.

Hakimi yang juga pembawa Jalur Gemilang pada Sukan Komanwel berhasrat untuk memperbaha­rui rekod kebangsaan 16.77m miliknya itu.

Beliau membuat tiga percubaan lompatan iaitu 16.18m dan 16.21m sebelum lompatan yang melayakkan­nya ke final iaitu 16.36m.

Sementara itu, nasib berbeza dialami jaguh lempar cakera negara, Muhammad Irfan Shamsuddin apabila gagal melangkah ke pentas final semalam selepas ketiga-tiga percubaann­ya batal sewaktu peringkat kelayakan, kelmarin. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia