Utusan Borneo (Sarawak)

257 korban bencana udara terburuk di Algeria Kebanyakan­nya tentera dan keluarga mereka, saksi dakwa pesawat terbakar sebelum terhempas

-

BOUFARIK: Algeria mengalami bencana udara paling buruk dalam sejarahnya kelmarin apabila sebuah pesawat tentera terhempas selepas ia berlepas, dan membunuh 257 orang di dalam pesawat, kebanyakan­nya kakitangan tentera dan anggota keluarga mereka.

Seorang jurugambar AFP di tempat kejadian melihat bangkai pesawat yang rentung selepas ia terbakar di sebuah padang dekat pangkalan udara Boufarik, 30 kilometer ke selatan Algiers.

Ratusan ambulans dan puluhan trak bomba dengan semboyan yang bergema berkejar ke tempat kejadian nahas, dalam sebuah kawasan tidak dihuni di mana seorang individu cedera terkena serpihan.

Anggota bomba memadamkan kebakaran dan pasukan keselamata­n menutup kawasan kejadian untuk menghalang wartawan dan pemerhati daripada mendekatin­ya.

Saksi yang bekerja di kawasan berdekatan memberitah­u AFP pesawat itu terbakar sebelum ia terhempas.

Kementeria­n pertahanan menyebut dalam satu kenyataan bahawa 247 penumpang dan 10 kru maut tanpa menyebut tentang sebarang mangsa selamat. Kebanyakan mereka yang menaiki pesawat adalah anggota tentera dan keluarga mereka, katanya.

Belum ada maklumat segera diterima mengenai punca nahas. Timbalan Menteri Pertahanan Jeneral Ahmed Gaid Salah melawat tapak nahas dan mengarahka­n siasatan, kata kementeria­n pertahanan.

Presiden Algeria Abdelaziz Bouteflika mengumumka­n tempoh berkabung selama tiga hari bagi seluruh negara ekoran nahas itu bermula kelmarin.

Pemimpin veteran itu juga mengarahka­n agar doa khas disebut bagi mangsa selepas sembahyang Jumaat, kata satu dekri yang diterbitka­n oleh agensi media kerajaan APS.

Pesawat pengangkut­an Ilyushin IL-76 itu menuju ke Tindouf di barat daya Alge- ria dekat sempadan dengan Maghribi dan Sahara Barat.

Menurut laman sesawang syarikat pembuat pesawat itu, pesawat empat enjin IL-76 yang dibina di Soviet Union dan kemudian Rusia dapat mengangkut di antara 126 hingga 225 penumpang bergantung kepada model dan tatarajah.

Negara Afrika Utara itu sudah mengalami beberapa bencana penerbanga­n awam dan tentera tetapi kejadian kelmarin merupakan nahas pesawat paling buruk dalam sejarah Algeria yang menyebabka­n kematian manusia keempat paling ramai di dunia dalam tempoh 20 tahun.

Dua pesawat tentera Algeria berlanggar di udara pada Disember 2012 sewaktu menjalani latihan di Tlemcen, di bahagian barat jauh negara, dan membunuh juruterban­g kedua-dua pesawat.

Pada Februari 2014, 77 orang terkorban apabila sebuah pesawat tentera yang membawa kakitangan tentera dan anggota keluarga mereka terhempas di antara Tamanrasse­t di selatan Algeria dengan kota timur Constantin­e.

Hanya seorang individu sahaja terselamat selepas pesawat pengangkut­an C130 Hercules terjatuh dalam wilayah bergunung-ganang Oum El Bouaghi.

Kementeria­n pertahanan menyalahka­n cuaca buruk bagi nahas itu.

Sebuah pesawat penumpang Air Algerie yang terbang dari Burkina Faso ke Algiers terhempas di utara Mali pada Julai 2014, dan membunuh kesemua 116 orang di dalam pesawat termasuk 54 warga Perancis.

Pada Oktober tahun yang sama, sebuah pesawat tentera terhempas di selatan negara ketika menjalani latihan, dan mengorbank­an dua lelaki di dalam pesawat tersebut.

Ia berlaku lebih sedekad selepas kesemua kecuali seorang daripada 103 orang di dalam pesawat Boeing 737- 200 milik Air Algerie maut pada Mac 2003 dalam nahas yang berlaku ketika ia berlepas di selatan negara setelah enjin terbakar. — AFP

 ?? — Gambar Reuters ?? TRAGIS: Pesawat tentera Algeria dilihat dalam imej diambil daripada video ENNAHAR TV selepas terhempas di sebuah padang dekat pangkalan udara Boufarik, 30 kilometer ke selatan Algiers kelmarin.
— Gambar Reuters TRAGIS: Pesawat tentera Algeria dilihat dalam imej diambil daripada video ENNAHAR TV selepas terhempas di sebuah padang dekat pangkalan udara Boufarik, 30 kilometer ke selatan Algiers kelmarin.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia