Utusan Borneo (Sarawak)

Pusat Khidmat N.43 Daro jayakan bengkel penjagaan luka

-

SARIKEI: Pusat Khidmat N.43 Daro dengan kerjasama Persatuan Kebajikan Keluarga Polis (PERKEP) dan Persatuan Jururawat Malaysia Cawangan Daro menganjurk­an Bengkel Penjagaan Luka dan Stoma di Dewan KEMAS di sini, baru-baru ini.

Program itu dianjurkan atas keprihatin­an pihak penganjur terhadap masalah penjagaan luka yang sering menjadi beban kepada pesakit kencing manis, di mana kurang pengetahua­n dalam perkara itu boleh mendedahka­n pesakit dengan pelbagai komplikasi termasuk kehilangan anggota badan atau nyawa.

Prihatin dengan masalah itu, program yang julung kali diadakan di Daro itu melibatkan pesakit, pembantu perubatan dan jururawat klinik desa di daerah Mukah, Dalat, Matu, Daro dan Tanjung Manis.

Sehubungan itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro Safiee Ahmad berkata, penganjura­n program merupakan sebahagian inisiatif untuk membantu pesakit di samping meningkatk­an kepakaran pengamal perubatan desa dalam bidang berkenaan.

“Program ini memberi manfaat besar kepada orang ramai terutama kepada penghidap penyakit ini. Kita sedar ramai dalam kalangan mereka menghadapi masalah.

“Mungkin ramai yang tidak tahu, pesakit ini boleh menderita daripada aspek psikologi jika luka yang dialami bertukar menjadi kronik.

“Keadaan itu sudah pasti boleh menjejaska­n kualiti kehidupan mereka dalam pelbagai sudut.

“Sehubungan itu, saya berharap peserta memanfaatk­an ilmu yang mereka peroleh sepanjang bengkel ini dengan sebaik mungkin,” katanya pada majlis perasmian bengkel itu di Dewan KEMAS di sini.

Program dikendalik­an pakar Unit Penjagaan Luka dan Stoma Hospital Umum Sarawak yang diketuai Dr Nizam Ali Husien.

Dalam pada itu, Safiee menyumbang RM3,000 bagi membantu menjayakan penganjura­n program dua hari tersebut.

Turut hadir Pegawai Kesihatan Bahagian Mukah Dr Osman Rafaie, pengerusi bengkel Dr Nadzirah Abdul Halim dan Penolong Pegawai Perubatan Hospital Daro Abu Bakar Sidek Ahmad Tamnon.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia