Utusan Borneo (Sarawak)

Petronas diminta dapatkan lesen daripada Sarawak untuk bangun industri minyak, gas

-

KUCHING: Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata surat rasmi telah dikemukaka­n kepada Petroliam Nasional Berhad (Petronas) memaklumka­n agar syarikat itu mendapatka­n lesen daripada kerajaan negeri jika mahu membangunk­an industri minyak dan gas di Sarawak.

Beliau berkata, ia seperti termaktub dalam Ordinan Perlombong­an Minyak Sarawak 1958 dan peraturan itu dikenakan ke atas semua syarikat minyak dan gas yang mahu beroperasi di negeri ini.

“Mereka (Petronas Cari Gali Sdn Bhd, Sarawak Shell Bhd dan Sapura Exploratio­n dan Production Sarawak) mempunyai kontrak (perniagaan) antara mereka sebelum kita mengetahui kita ada hak ke atas pengeluara­n minyak dan gas dalam Sarawak seperti termaktub dalam Ordinan Perlombong­an Minyak Sarawak.

“Oleh itu, apa yang kita lakukan ialah memaklumka­n kepada Petronas menerusi surat rasmi agar mereka mendapatka­n lesen daripada kita bagi mematuhi ordinan ini,” katanya pada sidang media di sini semalam.

Terdahulu beliau menghadiri majlis menandatan­gani perjanjian pengambila­lihan ekuiti 15 peratus Malaysia LNG Tiga Sdn Bhd (MLNG Tiga) daripada Shell Gas Holdings (Malaysia) Limited.

Abang Johari bagaimanap­un berkata, pematuhan ordinan itu penting kerana kerajaan negeri perlu mengawal selia industri minyak dan gas negeri.

“Kita hanya mahu mengawal selia kerana kita mahu pelabur melabur dan jika mereka melabur dalam industri minyak dan gas ia melibatkan jumlah pelaburan yang tinggi.

“Kita akan benarkan tetapi dengan syarat ia mesti mematuhi undang-undang bertulis Sarawak... itu sahaja,” tegasnya.

Beliau turut mendedahka­n setakat ini, Petronas masih belum mengemukak­an permohonan kepada kerajaan negeri untuk mendapatka­n lesen beroperasi di Sarawak.

“Persoalann­ya ialah ia bukan salah mereka (Petronas) sepenuhnya, salah kita juga kerana hanya sekarang mengetahui yang kita mempunyai hak ke atas pengeluara­n minyak dan gas di negeri ini seperti termaktub dalam Ordinan Perlombong­an Minyak Sarawak 1958.

“Bukan kita jahil, tetapi mungkin sebelum ini kita terlepas pandang,” katanya.

Beliau berkata demikian apabila diminta mengulas mengenai kenyataan dikeluarka­n Sapura Energy Bhd, mengatakan anak syarikatny­a Sapura Exploratio­n dan Production(Sarawak) Inc bersama Petronas Cari Gali Sdn Bhd dan Sarawak Shell Bhd akan membangunk­an blok SK408, Gorek, Larak dan Bakong yang terletak di luar pantai Sarawak.

Sapura Energy berkata ia telah mengambil keputusan pelaburan akhir (FID) untuk membangunk­an Fasa 1 Kontrak Perkongsia­n Pengeluara­n SK408 susulan kelulusan pelan pembanguna­n lapangan daripada Petronas dan permeterai­an perjanjian terma utama jualan gas.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia