Utusan Borneo (Sarawak)

Allegri beri amaran Juve akan kembali lebih garang, buru kejuaraan berganda

-

MILAN, Itali: Jurulatih Juventus, Massimilia­no Allegri memberi amaran bahawa pasukannya akan melepaskan geram dalam pemburuan kejuaraan Serie A Itali buat kali ketujuh berturut-turut selepas impian memburu kejuaraan Eropah berkecai.

“Kami bermula sekali lagi dengan semangat baharu,” kata Allegri selepas tersingkir dari perlawanan suku akhir Liga Juara-Juara walaupun menang 3-1 pada perlawanan kedua kepada Real Madrid tetapi tewas 3-4 secara agregat selepas tendangan penalti Cristiano Ronaldo pada minit ke-94.

“Tiada guna terus menangis. Kami kecewa tetapi kami perlu melupakann­ya kerana kami kini kembali beraksi dalam liga pada hari Ahad.

“Sekarang kami harus lebih garang di Itali, membawa pulang kejuaraan Scudetto ketujuh dan Piala Itali buat kali keempat berturut-turut.

Juventus kembali ke Turin dari Sepanyol Khamis lepas selepas kekecewaan apabila pengadil perlawanan, Michael Oliver memberikan kad merah kepada penjaga gol Gianluigi Buffon kerana membuat bantahan keterlalua­n ketika penalti diberikan kepada Real Madrid pada saat akhir.

Kekalahan adalah satu lagi kekecewaan besar buat Juventus di Eropah selepas lima kekalahan berturut-turut di Eropah di antara 1997 dan tahun lepas – tewas kepada Real Madrid di Cardiff.

Tetapi kekalahan kali ini paling sukar diterima dengan kelab bakal berdepan tindakan disiplin kerana luahan kemarahan Buffon kepada pengadil dan juga Presiden Juventus, Andrea Agnelli yang mendesak ketua pengadil badan induk bola sepak Eropah (UEFA), Pierluigi Collina dipecat.

“Sekarang kami perlu mengubah kemarahan dan kekecewaan ini kepada sesuatu yang positif dalam sebulan setengah ini di mana kami masih boleh memenangi kejuaraan liga dan Piala Itali,” kata pemain pertahanan­nya, Giorgio Chiellini.

Terlebih dahulu, Juventus akan menentang Sampdoria pada hari Ahad, pasukan di tangga kelapan, empat mata dari kelayakan ke Liga Europa dan pasukan yang memberikan salah satu dari dua kekalahan Juventus musim ini.

“Ia pastinya sukar menentang pasukan terkuat di Itali, selepas Madrid, mereka pastinya lebih marah,” kata penjaga gol Sampdoria, Emiliano Viviano.

“Juventus kecewa, mereka adalah juara liga untuk enam tahun berturut-turut dan mereka mahu menebus kekecewaan di Eropah dengan memenangi kejuaraan domestik.”

Juventus mengumpul 81 mata dari 31 perlawanan – empat mata di hadapan pasukan di tangga kedua, Napoli, yang akan menentang AC Milan juga pada hari Ahad. — AFP

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia