Utusan Borneo (Sarawak)

Kedudukan Malaysia Tigress merosot pada Sukan Komanwel

-

GOLD COAST: Cabaran skuad hoki wanita negara di Sukan Komanwel 2018 di sini berakhir di tangga kelapan selepas kalah 42 kepada Scotland pada perlawanan penentuan tempat, di sini kelmarin.

Skuad bimbingan Muhammad Dharma Raj Abdullah gagal memperbaik­i kedudukan ketujuh pada edisi 2014 di Glasgow, Scotland, selepas menamatkan saingan dengan hanya satu kemenangan dan satu seri sepanjang lima perlawanan dilalui pada temasya sukan itu.

Pada perlawanan tempat ketujuh dan kelapan di Stadium Hoki Gold Coast di sini skuad negara, Malaysia Tigress, ketinggala­n 3- 0 pada separuh masa pertama dengan jaringan Scotland seawal minit kelima oleh Millie Brown dan dua jaringan Amy Brodie pada minit ke- 22 dan ke- 27.

Masuk babak kedua, Malaysia yang tersentak dengan kemaraan Scotland, menjaringk­an gol pertama menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke- 31 oleh Fatin Shafika Mahd Sukri.

Malaysia, yang nampak lebih yakin di separuh masa kedua, menggandak­an jaringan gol melalui Nuraini Abdul Rashid pada minit ke- 40 sebelum Lucy Lanigan menutup tirai jaringan Scotland pada minit ke- 51.

Pada saingan peringkat kumpulan B di Sukan Komanwel di sini, Malaysia kalah 4- 1 kepada India, seri 1- 1 dengan Afrika Selatan, kalah 3- 0 kepada England dan menang 1- 0 ke atas Wales.

Biarpun pencapaian Malaysia Tigress merosot, Muhammad Dharma Raj berkata secara keseluruha­n, beliau melihat beberapa pemain negara berpotensi untuk menjadi pemain bertaraf dunia seperti penjaga gol, Farah Ayuni Yahya.

Beliau berkata selepas ini, skuad itu akan bertanding di Kejohanan Trofi Juara- Juara Asia ( ACT) di DongHae, Korea Selatan dari 13 hingga 20 Mei ini sebagai persediaan menghadapi Sukan Asia 2018 di Indonesia, Ogos ini.

Selain Malaysia, Kejohanan ACT di Korea Selatan disertai pasukan tuan rumah, India, Jepun dan China. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia