Utusan Borneo (Sarawak)

Kejayaan Pandelela rangkul pingat emas dapat pujian

-

KUCHING: Kejayaan ratu terjun negara, Pandelela Rinong Pamg melakarkan sejarah dengan memenangi pingat emas buat negara dalam acara terjun seirama pada Sukan Komanwel Gold Coast, Australia Rabu lalu mendapat pujian daripada pelbagai pihak di sini.

Antara yang awal memberikan pujian kepada penerjun kelahiran Bau itu ialah Menteri Pelanconga­n, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah.

“Tahniah kepada Pandelela atas pencapaian cemerlang. Satu kejayaan yang cukup membanggak­an untuk Malaysia dan Sarawak. Semoga beliau terus maju jaya dalam sukan terjun,” katanya kepada Utusan Borneo menerusi aplikasi ‘WhatsApp’ di sini semalam.

Turut berbangga dengan kejayaan Pandelela ialah Menteri Muda Belia dan Sukan, Datuk Snowdan Lawan yang menyifatka­n atlet terjun itu telah banyak mengharumk­an nama negara dan Sarawak.

“Kejayaan Pandelela pada Sukan Komanwel kali ini menjadi satu lagi sejarah cukup bermakna kepada negara dan Sarawak kerana julung kalinya kita merangkul emas dalam acara terjun seirama pada kejohanan tersebut.

“Harapan saya agar kejayaan Pandelela menjadi penyuntik semangat kepada atlet-atlet muda kita untuk terus berusaha muncul juara dunia agar misi kita menjadikan Sarawak kuasa sukan tercapai,” katanya.

Bagi Pengarah Majlis Sukan Negeri Sarawak ( MSNS), Dr Ong Kong Swee kejayaan Pandelela memperliha­t dedikasi dan komitmen tinggi atlet itu dalam sukan terjun dan per- caya beliau masih mampu mengorak langkah lebih jauh.

“Saya tumpang gembira dengan kejayaan Pandelela dan Malaysia. Atlet normal dari Sarawak berjaya menyumbang emas selepas sehari sebelumnya atlet para, Jong Yie Khee berjaya meraih perak dalam acara angkat berat.

“Sememangny­a Sarawak mempunyai ramai atlet sukan berkaliber dan kita amat berbangga dengan pencapaian mereka,” katanya.

Pandelela menyumbang emas ketiga negara selepas gandingann­ya bersama Cheong Jun Heong berjaya mencatat markah tertinggi 328.08 dalam acara berlangsun­g di Pusat Akuatik Optus.

Rakan senegara, Leong Mun Yee dan Nur Dhabitah Sabri merangkul gangsa dalam acara sama.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia