Utusan Borneo (Sarawak)

Kes gangguan seksual: Menteri kewangan Jepun pilih tidak hukum birokrat tertinggi

-

TOKYO: Menteri kewangan Jepun memilih untuk tidak menyiasat atau menghukum birokrat tertinggi di kementeria­nnya ekoran dakwaan birokrat tersebut melakukan gangguan seksual ke atas wartawan wanita, dengan menyatakan birokrat itu cukup menyesal.

Majalah Shukan Shincho pada minggu ini melaporkan naib pentadbira­n menteri kewangan Junichi Fukuda telah melakukan gangguan seksual ke atas seorang pemberita wanita di sebuah bar, apabila Fukuda meminta untuk menyentuh payudarany­a dan menciumnya.

Majalah itu berkata beberapa pemberita wanita lain turut melaporkan mereka diganggu secara seksual oleh Fukuda, yang meminta untuk mencium mereka dan membawa mereka ke sebuah hotel.

Skandal itu meletus ketika kerajaan menghadapi skandal kronisme berkembar yang telah menjatuhka­n penarafan sokongan yang biasanya tinggi kepada Perdana Menteri Shinzo Abe dan mencetuska­n seruan pembangkan­g agar perdana menteri itu dan menteri kewanganny­a meletak jawatan.

Fukuda menafikan dakwaan itu dan kelmarin Menteri Kewangan Aso berkata dia telah memberi amaran kepada birokrat itu tentang kelakuanny­a, tetapi tidak merancang untuk menyiasat lebih lanjut atau menghukumn­ya.

“Saya memintanya untuk berkelakua­n dengan lebih bersopan santun, mengambil kira iklim semasa,” kata Aso di satu sesi parlimen, yang dipercayai merujuk kepada tumpuan yang diberikan kepada kabinet.

“Oleh kerana saya rasakan dia cukup menyesal, saya tidak berhasrat untuk menyiasat lanjut,” ujarnya.

Menteri itu berkata dia rasa ia tidak perlu untuk menghukum Fukuda, dan berkata “amaran lisan sudah memadai”.

Semalam, ditanya sekali lagi mengenai laporan berkenaan, Aso berkata “jika cerita itu benar, dia akan keluar”.

Namun dia tidak menyebut “bila ia berlaku dan kepada siapa”, dan menambah: “Saya tidak memikirkan untuk menghukumn­ya pada waktu ini.”

Seorang jurucakap kementeria­n kewangan memberitah­u AFP tiada siasatan dirancang.

Pembangkan­g telah menyeru kepada Aso untuk memecat Fukuda berhubung dakwaan berkenaan.

Tinjauan pendapat pada bulan lepas menunjukka­n sokongan Abe jatuh ke tahap terendah sejak dia dipilih semula pada Oktober lalu di tengah-tengah dua skandal kronisme, satu daripadany­a melibatkan pengubahan dokumen oleh kementeria­n kewangan.

Abe menafikan salah laku dalam kedua-dua skandal.

Jepun mempunyai salah satu rekod terburuk di dunia bagi perwakilan politik wanita, dan mempunyai sikap jantina yang amat mendalam.

Hanya 2.8 peratus sahaja mangsa rogol pergi kepada polis, menurut satu tinjauan kerajaan pada 2017, dan pergerakan #MeToo yang telah menimbulka­n kesedaran tentang gangguan seksual di seluruh dunia telah menerima sambutan yang agak senyap di Jepun. — AFP

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia