Utusan Borneo (Sarawak)

PKPKM kutuk keputusan pasar raya UK libatkan produk minyak sawit

-

KUALA LUMPUR: Persatuan Kebangsaan Pekebun-pekebun Kecil Malaysia (PKPKM) mengutuk tindakan Pasaraya Iceland di United Kingdom yang merancang untuk mengeluark­an minyak sawit daripada produk jenamanya, atas isu alam sekitar.

Presiden PKPKM Datuk Aliasak Ambia berkata pengumuman oleh pasar raya berkenaan biadap dan tidak berasas.

“Tindakan pasar raya itu adalah seperti yang pernah dilakukan oleh penjajah British pada masa lampau. Mereka hanya mengarahka­n kita apa yang perlu dibuat, dan pada masa yang sama merampas pendapatan serta menyekat rezeki keluarga kita.

“Minyak sawit Malaysia dihasilkan secara lestari, tidak seperti minyak biji sesawi dan minyak bunga matahari yang akan mereka gunakan menggantik­an minyak sawit,” katanya menerusi satu kenyataan di sini.

Aliasak juga berkata kajian terbaharui oleh Kesatuan Eropah mendapati minyak sawit bukan merupakan faktor utama penebangan hutan.

“Sebaliknya, penternaka­n (lembu) menyumbang 10 kali lebih besar kepada penebangan hutan berbanding tanaman sawit, kacang soya menyumbang lebih sekali ganda manakala tanaman sesawi menggunaka­n lima kali ganda jumlah racun perosak, dan minyak matahari menggunaka­n empat kali lebih banyak tanah bagi menghasilk­an minyak yang sama jumlahnya seperti minyak sawit.

“Tiada pula tanda-tanda syarikat menyerang komoditi tersebut, yang ditanam dan dihasilkan di negara Barat,” katanya. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia