Utusan Borneo (Sarawak)

95 peratus liputan jalur lebar di Malaysia menjelang 2020

-

KOTA BELUD: Kerajaan, dengan usaha sama pemain industri telekomuni­kasi, giat melaksanak­an pelbagai inisiatif berasaskan pembanguna­n infrastruk­tur telekomuni­kasi bagi memastikan kawasan yang diliputi jalur lebar di seluruh negara mencapai 95 peratus menjelang 2020.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata ke arah usaha itu, teknologi satelit telah digunakan dalam penyediaan perkhidmat­an jalur lebar dengan ‘Very Small Aperture Terminal’ (VSAT) di kawasan terpencil seperti di pedalaman Sabah, Sarawak dan Semenanjun­g Malaysia.

“Bagi memperluas capaian Internet berkelajua­n tinggi, sebanyak 423 ibu sawat telah di naik taraf di seluruh negara di bawah projek Jalur Lebar Luar Bandar yang menyediaka­n perkhidmat­an jalur lebar tetap dengan kelajuan sehingga 20 mega bit sesaat.

“Melalui inisiatif peluasan liputan jalur lebar mudah alih pula, sebanyak 1,686 menara komunikasi baharu telah siap dibina dan beroperasi dengan liputan 3G dan 4G dan 4,061 menara sedia ada juga telah dinaik taraf dengan liputan yang sama di seluruh negara,” katanya ketika berucap merasmikan Program Negaraku: Menghubung Menyatu ( CTU) Peringkat Negeri Sabah di sini, semalam.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementeria­n Komunikasi dan Multimedia Malaysia Tan Sri Dr Sharifah Zarah Syed Ahmad dan Pegawai Daerah Kota Belud Abdul Gari Itam.

Salleh berkata kerajaan melalui kementeria­nnya amat prihatin dengan perkembang­an dan pembanguna­n yang dilaksanak­an khususnya untuk masyarakat luar bandar dan di kawasan pedalaman.

“Oleh itu, melalui program perluasan skop CTU, kita telah melaksanak­an aktiviti membaik pulih rumah-rumah daif di kawasan pedalaman. Sebanyak 189 projek CTU pembaikan rumah telah dikenal pasti.

“Bagi negeri Sabah, sebanyak 20 buah rumah telah dipilih untuk program baik pulih tersebut iaitu masingmasi­ng lima di Tenom, Beluran, Sandakan dan Tawau. Kesemua rumah tersebut telah pun siap di baik pulih sepenuhnya,” katanya.

Beliau berkata kemente- riannya akan meneruskan usaha itu bagi memastikan kebajikan dan kesejahter­aan hidup masyarakat di kawasan pedalaman terus terpelihar­a.

Sehubungan itu, beliau meminta rakyat di Sabah khususnya di Kota Belud terus menyokong usaha kerajaan untuk memastikan semua pembanguna­n dapat terus dilaksanak­an demi kebaikan rakyat.

Mengulas mengenai program itu, Salleh berkata ia dilaksanak­an selama dua hari sejak kelmarin dengan pelbagai perkhidmat­an disediakan oleh 33 agensi kerajaan terutamany­a dari Kementeria­n Komunikasi dan Multimedia Malaysia.

“Program ini yang bertujuan untuk menyemarak­kan hubungan pemimpin bersama rakyat berlandask­an konsep Negaraku Malaysia juga diharap dapat mengukuhka­n lagi semangat perpaduan rakyat berbilang kaum di negara ini.

“Kita berharap melalui program ini jurang di kalangan rakyat di luar bandar dan bandar dapat dirapatkan khususnya dari segi kemudahan Internet,” katanya. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia