Utusan Borneo (Sarawak)

70% peserta SL1M dapat kerja selepas tamat latihan

-

ALOR SETAR: Sebanyak 70 peratus peserta Skim Latihan 1Malaysia (SL1M) berjaya mendapat pekerjaan tetap selepas tamat latihan menerusi skim latihan berkenaan.

Ketua Sekretaria­t SL1M Norashikin Ismail berkata, sekiranya ada pelatih yang gagal memperoleh kerja tetap selepas tamat latihan itu mereka akan dibantu sekali lagi oleh pihaknya sehingga berjaya mendapat pekerjaan tetap berkenaan.

“Datang balik kepada SL1M, kita akan bantu lagi sehingga dia dapat kerja tetap, daripada SL1M TNB (Tenaga Nasional Berhad), pergi kepada SL1M Petronas, pergi ke SL1M Maybank, jadi dia tidak ada masalah sebab setiap kos itu ditanggung sepenuhnya oleh syarikat itu sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas perasmian Program Temu Duga Terbuka SL1M Peringkat Zon Utara 2018 di Stadium Sultan Abdul Halim di sini hari ini yang disempurna­kan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah.

Norashikin berkata, kebiasaann­ya mana-mana peserta SL1M yang gagal mendapat kerja tetap setelah tamat latihan disebabkan diri sendiri yang bermasalah daripada segi sikap.

Terdahulu, dalam ucapan aluannya, beliau berkata seramai 144,440 peserta telah dibantu menerusi penglibata­n secara langsung mahupun tidak langsung dengan program SL1M setakat Disember tahun lepas.

Program temuduga itu berlangsun­g selama dua hari bermula semalam dengan menawarkan lebih 9,000 peluang pekerjaan dan latihan kepada semua pencari kerja tanpa mengira latar belakang serta peringkat kelulusan.

Pihak syarikat yang mengambil bahagian dalam program itu menjalanka­n sesi temuduga secara ‘on the spot’ kepada pencari kerja yang datang menghadiri temuduga berkenaan. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia