Utusan Borneo (Sarawak)

Syabu bernilai lebih setengah sejuta dirampas

-

JOHOR BAHRU: Polis menahan seorang lelaki dan merampas dadah syabu bernilai RM566,000 dalam satu serbuan di sebuah rumah di Tangkak pada Rabu lalu.

Ketua Polis Johor Datuk Mohd Khalil Kader Mohd berkata kejayaan itu hasil daripada soal siasat Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman terhadap seorang suspek bersabit dadah, yang diberkas pada 6 April.

Katanya, serbuan itu yang dilakukan bermula jam 3.40 petang hingga 9.30 malam berhasil merampas syabu berjumlah 8.09kg, selain menahan seorang lelaki warga tempatan berusia 47 tahun yang didapati positif dadah Methamphet­amine dan mempunyai rekod jenayah berkaitan dadah.

“Selain rampasan dadah, kita juga merampas sepucuk pistol jenis Stoeger Cougar 8000 Beretta, satu kelopak peluru, lima kelongsong peluru, 54 butir peluru hidup dan mesin pencetak pil ekstasi bersama blok logo,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan program derma darah di Paradigm Mall, di sini, semalam.

Menurutnya, suspek yang ditahan kini direman selama seminggu sehingga 20 April ini bagi siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 8/8A Akta Senjata Api Lebih Berat 1971.

Sementara itu, mengulas mengenai penularan berita palsu di media sosial tentang bantuan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Tunku Ibrahim di beberapa lokasi di negeri ini, Mohd Khalil berkata pihaknya setakat ini hanya menerima tiga laporan polis daripada orang awam berhubung perkara berkenaan.

“Berita palsu bukan mudah untuk kita kesan, tetapi kita akan menyiasat dan tindakan tegas akan diambil terhadap individu yang didapati menyalahgu­nakan media sosial,” katanya.

Terdahulu, seramai 198 anggota polis dan orang awam menyertai program derma darah itu yang dianjurkan secara bersama oleh Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor dan Hospital Sultan Ismail. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia