Utusan Borneo (Sarawak)

Tokan antara empat individu ditahan AADK di Sungai Petani

-

ALOR SETAR: Seorang tokan dadah adalah antara empat individu yang ditahan dalam satu serbuan yang dijalankan di sebuah rumah di Kampung Pengkalan Bukit Kecil, Sungai Petani, semalam.

Ketua Pegawai Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Daerah Kuala Muda, Shamshuri Yusoff berkata tokan dadah berumur 36 tahun itu ditahan bersama tiga lagi individu berumur antara 30 hingga 40-an hasil maklumat dan risikan selama seminggu yang telah dijalankan.

“Tokan dan dua individu terbabit ditahan ketika cuba melarikan diri dengan cuba memecahkan tingkap bilik rumah terbabit namun tidak berjaya manakala seorang lagi individu yang berada di dalam rumah itu turut ditahan.

“Hasil pemeriksaa­n juga menjumpai peket mengandung­i dadah jenis methamphet­amine seberat 99.50 gram dan dadah jenis opiat seberat 44.00 gram. Turut dirampas duit berjumlah RM502 disyaki hasil jualan dadah,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Shamshuri berkata tiga individu termasuk tokan telah diserahkan kepada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda untuk siasatan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 manakala seorang lagi disiasat di bawah Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan & Pemulihan) 1983.

Katanya operasi yang bermula jam 8 pagi dan tamat pada jam 1 petang kelmarin membabitka­n tujuh anggota AADK bertujuan membantera­s penagih dadah. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia