Utusan Borneo (Sarawak)

TH khuatir masa depan pendeposit dan jemaah haji selepas PRU14

-

BALING: Segala kemudahan termasuk subsidi yang diberikan kepada jemaah haji dan juga pendeposit Lembaga Tabung Haji (TH) dibimbangi akan terjejas sekiranya pembangkan­g menguasai kerajaan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Pengerusi TH Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berkata selain itu hubungan baik negara dengan Arab Saudi juga boleh memberi kesan sekiranya tampuk pemerintah­an negara berpindah kepada pembangkan­g.

“Bayangkan sekarang pun kita mendapat subsidi sehingga RM400 juta setahun untuk mengerjaka­n ibadah haji serta pelbagai kemudahan yang diberikan kerajaan Arab Saudi kepada jemaah kita disebabkan hubungan baik kita dengan mereka dan jika kita kalah, semua ini tidak mungkin akan dinikmati lagi.

“Bukan saja TH tetapi apa saja yang berkaitan dengan pelbagai institusi seperti maahad tahfiz, sekolah agama serta pondok malah masa depan Majlis Amanah Rakyat (MARA) sekalipun akan terjejas,” katanya selepas menyampaik­an sumbangan sebuah van kepada Maahad Tahfiz Darul Hijrah di sini, semalam.

Sumbangan tersebut adalah bagi kemudahan hampir 100 pelajar di situ untuk berulang alik ke masjid atau sekolah setiap hari.

Mengenai program itu, Abdul Azeez yang juga Ahli Parlimen Baling berkata rakyat pastinya sedar dengan komitmen yang ditunjukka­n Barisan Nasional ( BN) di bawah kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak dalam membangunk­an pengajian Islam.

Katanya melalui Yayasan Pembanguna­n Rakyat Baling, yang dipengerus­ikannya, usaha dibuat bagi memastikan keperluan 60 pusat tahfiz di Baling dipenuhi.

Sementara itu, Abdul Azeez berkata Tasik Gua Reban yang terletak di Kampung Charuk Sikin, Mukim Kupang di sini akan dibaik pulih serta dinaik taraf menjadi taman herba yang terbesar seumpamany­a di Malaysia.

Kos pembinaan taman herba itu yang bernilai RM10 juta telahpun diluluskan oleh Kementeria­n Kesejahter­aan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan akan dimulakan sebaik sahaja kerajaan BN di beri mandat semula selepas pilihan raya umum nanti, katanya semasa berucap merasmikan Perumahan Lion Group serta Kenduri Rakyat di Wang Dalam di sini.

“Tasik seluas hampir tiga hektar itu akan ditanam dengan pelbagai jenis herba dan tanaman semula jadi yang sememangny­a terdapat di Baling. Ini secara tidak langsung menunjukka­n Baling ini kaya dengan pelbagai tumbuhan yang berpotensi bagi kajian perubatan dan masakan,” katanya.

Katanya, projek yang dijangka siap dalam tempoh setahun lebih itu juga akan menyaksika­n pelbagai kemudahan disediakan bagi pengunjung yang bukan saja dari Baling tetapi negeri jiran termasuk Pulau Pinang, Kelantan dan Perak. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia