Utusan Borneo (Sarawak)

BN Ledang ada strategi kalahkan Muhyiddin

-

MUAR: “Kita ada strategi yang dia tidak tahu,” demikian respons penyandang Parlimen Ledang terhadap kenyataan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mahu bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Gambir pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Datuk Hamim Samuri berkata strategi mutakhir yang dirancang itu bagi memastikan kekalahan mana-mana calon pakatan pembangkan­g di kawasan Parlimen berkenaan.

“BN ada strategi tertentu pastikan mereka (calon pembangkan­g) kalah dalam PRU14 9 Mei ini.

“Tan Sri Muhyiddin pun tahu (strategi BN sebelum ini) sebab dia pernah jadi timbalan presiden (UMNO), tapi ada strategi mutakhir yang dia tidak tahu,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Pusat Pengeluara­n Spesies Pokok Hutan (PPSPH) Ledang di Bukit Gambir dekat sini, semalam.

Muhyiddin, presiden Parti Bersatu Malaysia (PPBM) dalam satu majlis di Bukit Gambir kelmarin memberi bayangan akan bertanding di DUN Gambir selain bertanding di satu kerusi Parlimen.

Sementara itu, Hamim yang juga Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar berkata PPSPH Ledang diharap dapat menjadi sebuah pusat pengeluara­n pokok hutan terkenal dengan penglibata­n masyarakat di kawasan itu.

Katanya, untuk memastikan kelestaria­n khazanah tersebut, seramai 62 usahawan yang menanam pokok hutan juga sudahpun dilahirkan melalui satu program pada 20 Feb lepas.

“Selaras dengan keputusan kerajaan untuk menjadikan subjek alam sekitar dalam sukatan mata pelajaran sekolah mulai tahun depan, saya berharap pihak jabatan pendidikan negeri dapat merangka aktiviti berterusan dengan pelajar sekolah untuk menggunaka­n kemudahan ini (pusat) sebaiknya,” katanya. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia