Utusan Borneo (Sarawak)

Real selayaknya meneruskan kemaraan: Zidane

-

MADRID, Sepanyol: Jurulatih Real Madrid, Zinedine Zidane percaya reaksi negatif kepada kemenangan minit akhir Real Madrid ke atas Juventus sebagai “memalukan, mengecewak­an dan mengeliruk­an”, dan berpunca dari rasa cemburu terhadap juara Eropah itu.

Real melangkah ke separuh akhir Liga Juara-Juara selepas pengadil perlawanan, Michael Oliver memberikan tendangan penalti kepada Real pada minit kecederaan.

Cristiano Ronaldo menyempurn­akan tendangan penalti untuk memastikan Real layak ke separuh akhir dengan kemenangan agregat 4-3 tetapi tewas 1-3 pada perlawanan kedua di Santiago Bernabeu Rabu lepas.

Penjaga gol Juventus, Gianluigi Buffon menyelar Oliver walaupun selepas perlawanan sementara beberapa media Itali dan Sepanyol juga mengkritik kemenangan Real.

Akhbar Corriere dello Sport, akhbar sukan harian di Rom, mengetuai kritikan sementara akhbar Sport, akhbar harian Barcelona, musuh tradisi Real Madrid, juga mengeluark­an kritikan.

Zidane bagaimanap­un menegaskan bahawa pasukannya selayak meneruskan kemaraan.

“Apabila orang bercakap tentang ( kemenangan) dirompak, saya berasa marah – ia jelas apa yang kami lakukan tetap menyakiti ramai orang,” kata Zidane Sabtu lepas.

“Ada orang yang anti Real Madrid tetapi tiada siapa dapat mengubahny­a. Tiada siapa dapat mengubah sejarah kelab ini, apa yang telah dicapainya.

“Kami adalah kelab terbaik di dunia dan apabila anda terbaik di dunia, ada yang akan iri hati.”

Zidane menambah: “Secara jujur saya fikir ia memalukan, mengecewak­an dan mengeliruk­an.” — AFP

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia