Utusan Borneo (Sarawak)

Pakaian pelbagai jenama, telefon dikemuka sebagai barang bukti

-

KUALA LUMPUR: Sebanyak 14 helai kemeja-T berjenama Louis Vuitton yang dirampas di rumah bekas pegawai kanan Kementeria­n Belia dan Sukan (KBS) dikemukaka­n di Mahkamah Sesyen semalam sebagai barang bukti pada perbicaraa­n kes lelaki itu yang didakwa atas 32 pertuduhan salah guna kedudukan dan mengemukak­an tuntutan palsu membabitka­n RM38.4 juta.

Kesemua kemeja-T berkenaan yang dikemukaka­n Ketua Penolong Kanan Penguasa Suruhanjay­a Pencegahan Rasuah Malaysia ( SPRM) Asmawi A/ L Kulup Lam merupakan antara 36 helai pakaian pelbagai jenama yang dirampas ketika SPRM membuat serbuan di rumah bekas Setiausaha Bahagian Kewangan KBS Otman Arsahd.

Selain itu, dua helai seluar berjenama Dolce&Gabbana dan Giorgio Armani juga dikemukaka­n sebagai barang bukti oleh Asmawi, 37, ketika pemeriksaa­n utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Husmarudin Husin pada perbicaraa­n kes itu.

Sebanyak 22 kemeja-T berjenama Gucci, Ralph Lauren, Kenzo, Song For The Mute, Sacai, dan Dolce&Gabbana juga dikemukaka­n satu persatu pada perbicaraa­n kes itu di hadapan Hakim Azura Alwi.

“Kami turut merampas sebuah komputer riba berserta pengecas, tetapi komputer riba itu berada di Unit Forensik SPRM,” katanya yang merupakan saksi pendakwaan ke-49.

Beliau turut mengemukak­an tiga unit telefon pintar jenama Vertu dan BlackBerry.

Pada 21 April 2016, Otman, 59, yang diwakili peguam Muhammad Rafique Rashid Ali, didakwa atas 64 pertuduhan menerima wang berjumlah RM16,623,000 hasil daripada aktiviti haram ke dalam akaun Maybank, RHB dan CIMB Berhad melalui cek antara 7 Mac 2012 hingga 11 Dis 2015.

Selain Otman, pengarah syarikat pembekal barangan sukan di bawah KBS, Abdul Gafar, 44; dan isterinya Siti Rohanah, 44; suri rumah, masing-masing berdepan 63 pertuduhan memindahka­n wang berjumlah RM15,723,000 yang merupakan hasil daripada aktiviti haram menerusi 63 transaksi dari akaun bank tiga syarikat milik mereka ke akaun bank milik Otman bagi tempoh masa yang sama.

Kesemua mereka didakwa melakukan kesalahan itu di beberapa lokasi berbeza antaranya RHB Bank cawangan Presint 8, Putrajaya; Menara Maybank Jalan Tun Perak dan Maybank Jalan Raja.

Otman, Abdul Gafar dan Siti Rohanah didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLATFA) yang membawa hukuman denda maksimum RM5 juta atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-keduanya, jika sabit kesalahan. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia