Utusan Borneo (Sarawak)

TETAK PASANGAN WARGA EMAS, POLIS BURU SUSPEK

-

KANOWIT: Polis di sini sedang memburu seorang lelaki warga Indonesia yang dipercayai menetak sepasang suami isteri warga emas sehingga cedera parah di kedai runcit mereka di Pasar Ngemah dekat sini, lewat petang kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kanowit DSP Daniel Desmond Benjamin berkata, suspek, 20-an, melarikan diri selepas menyerang dan menetak peniaga kedai runcit itu yang berusia 63 tahun dan isterinya, 67, di premis mereka dalam kejadian sekitar jam 7 petang.

“Kedua-dua mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala, telinga, tangan dan anggota badan selepas disyaki ditetak suspek,” katanya ketika dihubungi semalam.

Daniel berkata, kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Kanowit sebelum dirujuk ke Hospital Sibu untuk menerima rawatan pakar.

Katanya, kejadian berlaku ketika pasangan warga emas itu sedang berehat di dalam kedai runcit mereka apabila suspek tiba-tiba masuk dan menyerang mereka menggunaka­n senjata tajam.

“Suspek dipercayai seorang lelaki warga Indonesia telah menetak mereka dengan senjata tajam sebelum melarikan diri ke bahagian belakang kedai,” katanya.

Menurut Daniel, pekedai terbabit kemudian meminta bantuan orang awam dan memberitah­u beliau dan isteri ditetak suspek terbabit.

Akibatnya, pekedai terbabit mengalami pendarahan teruk pada bahagian tepi muka kiri sampai ke leher, selain tiga kesan tetakan pada bahagian kepala.

“Mangsa juga mengalami kesan tetakan pada lengan dan jari manis, manakala kelingking kiri terputus, selain bahagian ibu jari kanan,” katanya.

Manakala isteri mangsa mengalami tetakan pada muka sebelah kanan sehingga ke belakang, telinga kanan dan bahagian bawah mata dan tangan kiri.

Bagaimanap­un katanya, keadaan kedua-dua mangsa kini dilaporkan stabil setelah menerima rawatan di hospital.

“Motif kejadian belum dikenal pasti dan polis kini giat memburu suspek berkenaan,” katanya.

Tambahnya, satu pasukan yang diketuai Inspektor Chris Olsen diwujudkan sertamerta bagi mengesan suspek yang telah melarikan diri.

“Setakat ini, siasatan masih dijalankan di mana mangsa belum boleh memberi keterangan dan masih dirawat di hospital,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan (KK) kerana dengan sengaja menyebabka­n cedera parah menggunaka­n senjata atau benda berbahaya.

 ??  ?? MENGERIKAN: Keadaan kedai runcit di mana kedua-dua mangsa dipercayai ditetak suspek.
MENGERIKAN: Keadaan kedai runcit di mana kedua-dua mangsa dipercayai ditetak suspek.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia