Utusan Borneo (Sarawak)

Wang ihsan banjir RM75,000 diagih kepada 150 keluarga

-

LIMBANG: Kerajaan mengagihka­n sejumlah RM75,000 bantuan wang ihsan kepada 150 keluarga yang terjejas akibat banjir di daerah ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Danau Paulus Palu Gumbang berkata, bantuan RM500 bagi setiap keluarga itu membabitka­n mangsa yang berdepan musibah banjir pada Disember tahun lepas sehingga Februari tahun ini.

“Penerima bantuan ini terdiri daripada mereka yang mendaftar dan berpindah ke pusat pemindahan sementara selepas kediaman mereka dinaiki air,” katanya pada penyerahan bantuan wang ihsan banjir di Dewan Buluh Balui dekat sini, semalam.

Terdahulu bantuan tersebut diserahkan kepada 116 penerima di Dewan Masyarakat Medamit manakala 32 lagi menerima bantuan di Dewan Buluh Balui semalam.

Bagi kawasan Medamit, kampung yang terjejas meliputi Hujung Jalan Medamit, Ukong, Rumah Tangai Lubok Tuan dan Rumah Siad Malaban.

Manakala konstituen­si Batu Danau melibatkan Kampung Pangkalan Jawa, Pangkalan Madang, Lembuak, Pandak, Ranggu, Limpasong, Kuala Awang dan Kampung Batu Danau.

Bantuan itu katanya, menunjukka­n keprihatin­an kerajaan Barisan Nasional (BN) terhadap rakyat yang berdepan musibah banjir di seluruh negara.

Turut hadir Ketua Cawangan Sekretaria­t Jawatankua­sa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), Angkatan Pertahanan Awam (APM) Sarawak Mejar (PA) Ismail Mahedin, wakil Pegawai Daerah Limbang Racha Balang dan Temenggung Nicholas Buyok Pura.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia