Utusan Borneo (Sarawak)

YB Permatang Pauh tidak pernah sebut atau mohon pembanguna­n di Parlimen

-

BUKIT MERTAJAM: Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail dibidas kerana tidak pernah menyebut atau membuat sebarang permohonan bagi pembanguna­n rakyat di Permatang Pauh semasa di Parlimen.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Ismail Sabri Yaakob berkata wakil rakyat itu juga tidak pernah memohon sebarang infrastruk­tur sama ada pembinaan jalan kampung, lampu dan sebagainya bagi masyarakat kawasan itu.

“Selama lima tahun tidak ada apa yang dibawa pembangkan­g kepada Permatang Pauh. Yang mereka sebut adalah isu-isu seperti 1MDB yang tak ada kena-mengena dengan masyarakat di sini.

“Yang selalu bawa masalah penduduk dan tebal- tebal dokumen kepada saya adalah Ketua UMNO Bahagian Permatang Pauh Datuk Mohd Zaidi Mohd Said,” katanya pada majlis mesra rakyat Permatang Pauh di sini malam kelmarin.

Justeru katanya rakyat Permatang Pauh perlu celik dan sedar akan perkara itu serta memilih wakil rakyat daripada Barisan Nasional (BN) yang senantiasa mengambil berat kebajikan rakyat.

Pada majlis itu, Ismail Sabri turut meluluskan permohonan hampir RM1 juta bagi pelbagai infrastruk­tur kepada penduduk setempat, antaranya bagi membaik pulih surau, rumah fakir miskin dan pembinaan jalan kampung.

Beliau menzahirka­n keyakinan bahawa BN akan merampas semula kerusi Permatang Pauh pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Katanya pertanding­an tiga penjuru antara BN, PKR dan PAS yang dijangka bakal merebut kerusi itu pada pilihan raya kali ini akan memberi kelebihan kepada BN untuk menawan semula kerusi tersebut.

Ahad lepas Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengumumka­n Ketua Dewan Pemuda PAS Pulau Pinang Afnan Hamimi Taib Azamudden sebagai calon PAS bagi kerusi Parlimen Permatang Pauh pada PRU14. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia