Utusan Borneo (Sarawak)

Gedong Gators bakal beraksi pada saingan Piala FAM 2019

-

KUCHING: Desas- desus penyertaan sebuah lagi pasukan dari Sarawak dalam kempen Piala FAM semakin menjadi kenyataan.

Pasukan diperkatak­an itu ialah Gedong Gators yang bersaing dalam kempen Liga Bola Sepak Rakyat (LBR) 2017/2018 menyatakan minat mendalam untuk beraksi dalam liga domestik itu bagi mengiringi Kuching FA.

Presiden Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS), Datuk Posa Majais berkata pengurusan Gedong Gators telah menghantar permohonan kepada badan induk Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk menyertai liga tersebut pada tahun depan.

“Saya sudah dimaklumka­n oleh pengurusan pasukan Gedong Gators mengenai proses permohonan untuk beraksi pada saingan Piala FAM 2019,” katanya di sini semalam.

Menurutnya, maklum balas awal diterima daripada FAM amat positif dan beliau mengharapk­an segalanya berjalan dengan lancar.

Posa berkata, keputusan muktamad mengenai permohonan itu akan dapat diketahui tidak lama lagi.

“Sekiranya diterima maka Gedong Gators akan muncul sebagai pasukan kedua dari Sarawak selepas Kuching FA bersaing pada kempen Piala FAM,” katanya.

Jelasnya, ini sekali gus akan menjadikan saingan pada tahun depan bertambah rancak khususnya kepada peminat-peminat bola sepak tempatan.

Gedong Gators mewakili Bahagian Kuching bersaing pada kempen Liga Bola Sepak Rakyat (LBR) Peringkat Kebangsaan 2017/2018.

Skuad kendalian Helearn Wilfred itu menamatkan kempen di kedudukan ketiga Kumpulan D selepas gagal dalam perebutan slot ke peringkat suku akhir peringkat kebangsaan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia