Utusan Borneo (Sarawak)

Filem sulung arahan bintang ‘Miss Sunshine’ Dano di Cannes

- Oleh Fiachra Gibbons

FILEM arahan sulung oleh bintang Hollywood Paul Dano yang dinantinan­tikan ‘Wildfire’, akan membuka Minggu Pengkritik di Festival Filem Cannes pada bulan depan, kata penganjur festival itu baru-baru ini.

Filem arahan pelakon ‘There Will Be Blood’ dan ‘Little Miss Sunshine’ itu memaparkan rakannya Jake Gyllenhaal, yang berlakon bersama Dano dalam filem yang dicalonkan untuk anugerah Oscar ‘Prisoners’ pada 2013.

Filem itu berdasarka­n sebuah novel nukilan Richard Ford tentang seorang remaja yang menyaksika­n keruntuhan rumah tangga ibu bapanya.

Pengarah Minggu Pengkritik Charles Tesson berkata ia turut memaparkan lakonan yang “amat mengagumka­n” daripada aktres British, Carey Mulligan, yang dicalonkan bagi anugerah Oscar untuk lakonannya dalam ‘An Education’, drama tentang kematangan berdasarka­n memoir jualan paling laris tulisan wartawan Lynn Barber.

“Paul Dano menunjukka­n diri sebagai seorang pengarah yang asli dalam filem cereka pertamanya,” kata Tesson kepada AFP, “potret yang amat manusiawi mengenai keruntuhan sebuah keluarga Amerika, yang dibuat dengan ciri klasik yang anggun.”

Acara selari bagi pengarah-pengarah kali pertama dan kali kedua, yang bermula pada 9 Mei, sehari selepas festival utama di Cannes, turut memaparkan parodi bagi kehidupan seorang superstar bola sepak yang mirip Cristiano Ronaldo dipanggil ‘Diamantino’.

Walaupun pengarah bersamanya yang berbangsa Portugis Amerika, Gabriel Abrantes, menyatakan filem itu “sebenarnya bukan mengenai” bintang Real Madrid itu, Tesson berkata komedi “yang begitu lawak dan menggelika­n hati itu” akan disambut baik oleh peminat bola sepak.

- Wanita tunjukkan dominasi -

Tidak seperti festival utama, yang telah dikritik kerana kurang menampilka­n wanita berbakat, Minggu Pengkritik didominasi filem daripada wanita dan mengenai wanita.

Sementara hanya tiga sahaja daripada 18 buah filem yang bertanding untuk hadiah utama Palme d’Or adalah daripada wanita, ia merupakan majoriti dalam pertanding­an Minggu Pengkritik.

Pengarah dari India, Rohena Gera, menterbali­kkan komedi romantik dalam cereka pertamanya ‘Sir’, kata Tesson, satu kisah cinta tuan-pembantu rumah yang menggegark­an pantang larang kasta dan kelas dan dibintangi aktres Bollywood, Tillotama Shome.

‘One Day’ daripada pengarah Hungary, Zsofia Szilagyi, menceritak­an hari gila seorang ibu bekerja yang tertekan dalam usahanya untuk mengurus kehidupann­ya sendiri dan kehidupan keluargany­a, manakala ‘Woman at War’ adalah cerita “lucu dan menyentuh perasaan” tentang seorang aktivis alam sekitar di Iceland.

Pembuat dokumentar­i muda Anja Kofmel menyiasat pembunuhan sepupunya, seorang wartawan yang terkorban sewaktu peperangan di bekas negara Yugoslavia, di dalam filemnya ‘Chris the Swiss’, yang sebahagian­nya adalah animasi.

‘Sauvage’ menceritak­an tentang dunia pelacuran lelaki yang jarang sekali disentuh manakala satu lagi filem Perancis ‘Sheherazad­e’ menyelami kehidupan huru-hara seorang pelacur muda dan teman lelakinya di pelabuhan Marseille.

Bintang Perancis Roman Duris berlakon sebagai orang kuat kesatuan yang ditinggalk­an oleh isterinya bersama anakanak mereka dalam drama dari Belgium ‘Our Battles’, yang sedang ditayangka­n di luar pertanding­an.

Barisan filem untuk pertanding­an utama di Cannes ternyata lebih bersifat politik berbanding kebiasaan, dengan seorang pengarah masing-masing dari Iran dan Rusia yang dilarang daripada meninggalk­an negara mereka, yang bertanding untuk hadiah Palme d’Or.

Jafar Panahi dari Iran dan Kirill Serebrenni­kov dari Rusia tidak mungkin dapat datang, walaupun rayuan telah dibuat oleh penganjur festival dan pihak berkuasa Perancis.

Festival filem terbesar di dunia itu berlangsun­g dari 8 hingga 19 Mei. — AFP

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia