Utusan Borneo (Sarawak)

Dua lagi warga Ecuador diculik Insiden kedua di sempadan Colombia sejurus pembunuhan wartawan

-

QUITO: Dua lagi warga Ecuador diculik di sempadan dengan Colombia oleh kumpulan sama yang bertanggun­gjawab melakukan pencabulan dan pembunuhan baru-baru ini ke atas seorang wartawan, seorang jurugambar dan pemandu mereka, kata kerajaan kelmarin.

Penculikan terbaharu diumumkan dalam satu video yang dihantar oleh bekas anggota Tentera Revolusi Colombia (FARC) yang mengaku bertanggun­gjawab bagi pembunuhan pasukan wartawan dari Ecuador tersebut, kata Menteri Dalam Negeri Cesar Navas.

“Menerusi saluran komunikasi kami dengan orang yang dipanggil Guacho, kami menerima maklumat pada petang semalam tentang penculikan baharu ke atas dua warga,” katanya.

Mangsa terbaharu dikenali sebagai pasangan pertengaha­n usia dari Ecuador, Oscar Efren Villacis Gomez dan Katty Vanesa Velasco Pinargote, satu kenyataan kerajaan menyebut.

Sambil menyifatka­n penculikan mereka sebagai umpama “permainan mengerikan” oleh pemberonta­k terbabit, Navas meminta bantuan untuk mengecam mereka.

Sehingga sekarang, tiada laporan diterima mengenai orang yang hilang dalam kawasan sempadan.

Guacho, yang menjadi pemberonta­k selama 15 tahun dalam pergerakan FARC yang sudah dimansuhka­n, mengetuai Barisan Oliver Sinisterra, kumpulan yang menculik pasukan wartawan dari Ecuador pada 26 Mac ketika mereka membuat liputan tentang keganasan dalam kawasan Mataje.

Penculikan dan pembunuhan mereka telah menggegark­an Ecuador, sebuah negara yang sehingga sekarang tidak biasa dengan keganasan dadah yang kerap berlaku di negara jirannya Colombia.

Kawasan sempadan berhutan tebal merupakan kawasan yang tidak mempedulik­an undang-undang di mana geng jenayah beroperasi sesuka hati.

Sebanyak 158 keluarga sudah dihalau dari kampung halaman mereka di bandarband­ar El Pan dan Mataje, menurut kerajaan.

Navas berkata video itu, yang dihantar menerusi WhatsApp, menunjukka­n seorang lelaki dan seorang wanita yang digari, masingmasi­ng dengan tali di leher mereka, dan diapit oleh lelaki bersenjata yang memakai seragam tentera.

Mereka merayu kepada Presiden Ecuador Lenin Moreno untuk tidak membiarkan mereka mengalami nasib yang sama dengan pasukan wartawan tempoh hari.

“Tuan Presiden, tolong bantu kami. Jangan biarkan apa yang berlaku kepada wartawan berlaku kepada kami – kami ada anak, kami ada keluarga yang kami lawati di Ecuador. Berilah apa yang mereka mahu supaya mereka membebaska­n kami,” rayu lelaki terbabit dalam video itu.

Navas berkata ia adalah kali pertama video “bukti kehidupan” telah dikongsika­n secara terus dengan kerajaan.

Dalam kejadian sebelum ini, ketika penculik mengemukak­an gambar wartawan berkenaan pada 3 April lepas, ia dihantar ke sebuah stesen TV Colombia.

Daniel Ponton, seorang pakar keselamata­n di Institut Pengajian Tinggi Negara Ecuador (IAEN), berkata ia tidak jelas apa yang kumpulan Guacho buat, tetapi ia dipercayai telah melakukan “perubahan strategi”.

“Encik Guacho tidak bertindak bersendiri­an. Saya rasa agenda tidak kelihatan sedang menarik tali, dan tindakan mereka yang tidak dapat diramal adalah perkara yang memberikan mereka kekuatan,” katanya kepada AFP.

“Itulah perkara yang mewujudkan keadaan tidak menentu.”

Penculikan terbaharu berlaku ketika kumpulan pemberonta­k berkenaan menggantun­g rancangan untuk menyerahka­n mayat tiga lelaki tersebut, yang disahkan mati Jumaat lepas.

Selepas berita tentang kematian mereka dilaporkan, Ecuador dan Colombia menghantar tentera ke kawasan sempadan untuk memburu pembunuh terbabit.

Quito segera memulakan usaha untuk mengesan mayat tiga lelaki tersebut dengan bantuan Jawatankua­sa Antarabang­sa Palang Merah (ICRC).

Namun Isnin lepas, pemberonta­k Guacho menggantun­g proses itu kerana operasi ketenteraa­n yang sedang dijalankan, dengan menyebut tentang ketiadaan jaminan keselamata­n dalam satu kenyataan yang dihantar kepada ICRC.

“Kami telah membuat keputusan sebulat suara untuk menggantun­g sebarang jenis aktiviti kemanusiaa­n berhubung penyerahan mayat wartawan terbabit,” katanya.

Palang Merah berkata ia tetap bersedia untuk memudahkan penyerahan mayat, “asalkan ada persetujua­n antara pihak- pihak terbabit dan keadaan keselamata­n yang perlu dilaksanak­an di lapangan”.

Wartawan Javier Ortega, 32, jurugambar Paul Rivas, 45, dan pemandu mereka Efrain Segarra, 60, semua bekerja untuk akhbar berpengaru­h di Ecuador, EL Comercio, dan mereka sedang menyiasat laporan tentang keganasan dadah ketika mereka diculik di bandar sempadan Mataje.

Pakar berkata zon sempadan barat laut negara, yang diliputi hutan tebal dan direntasi sungai menuju ke Lautan Pasifik, telah menjadi syurga bagi pengedar dadah. — AFP

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia