Utusan Borneo (Sarawak)

MIHAS 2018 berjaya catat jualan RM1.52 bilion

-

KUALA LUMPUR: Pameran Halal Antarabang­sa Malaysia (MIHAS) 2018 selama empat hari bermula 4 April lepas, berjaya menjana jualan lebih tinggi sebanyak RM1.52 bilion berbanding RM1.01 bilion pada tahun lepas.

Dalam satu kenyataan semalam, Perbadanan Pembanguna­n Perdaganga­n Luar Malaysia (MATRADE) yang juga penganjur acara itu berkata, sebahagian besar jualan tersebut disumbangk­an oleh dua komponen utama merangkumi pameran dan segmen padanan perniagaan iaitu Program Penyumbera­n Antarabang­sa (INSP).

“Hasil jualan pameran itu meningkat 29 peratus kepada RM914.57 juta berbanding RM708.82 juta pada 2017 manakala INSP menjana jualan sebanyak RM602.45 juta – peningkata­n 99.5 peratus berbanding RM301.99 juta pada tahun lepas,” katanya.

Menurut MATRADE, sektor yang mencatat perkembang­an memberangs­angkan pada acara itu adalah makanan siap yang mencatat jualan sebanyak RM407.20 juta dan menyumbang 44.5 peratus daripada jualan keseluruha­n.

Ini disusuli segmen minuman ( RM129.3 juta/ 14.1 peratus daripada jumlah jualan), farmaseuti­kal, kelengkapa­n dandanan diri dan kosmetik ( RM108.04 juta/11.8 peratus), hasil pertanian ( RM68.53 juta/ 7.5 peratus) serta jentera dan kelengkapa­n (RM41.58 juta/4.6 peratus).

Selain itu, INSP yang diadakan pada 3 April berjaya menarik 182 pembeli asing yang berpotensi dari 39 negara dengan sebanyak 2,094 mesyuarat perniagaan membabitka­n pembeli antarabang­sa dan 428 pengekspor­t Malaysia.

“Antara negara yang mencatat jualan eksport tertinggi bagi syarikat-syarikat Malaysia di INSP itu adalah China (RM310.46 juta atau menyumbang 51.5 peratus daripada jumlah jualan), India (RM75.61 juta/12.6 peratus), Poland (RM71.34 juta/11.8 peratus), Thailand (RM21.70 juta/3.6 peratus) dan Amerika Syarikat (RM20.13 juta/3.3 peratus),” katanya.

MATRADE berkata MIHAS 2018 itu menarik penyertaan 778 pempamer mewakili 32 negara termasuk pembabitan Kemboja, Azerbaijan dan Uzbekistan untuk pertama kalinya. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia