Utusan Borneo (Sarawak)

Bandar Tun Razak mempunyai lebih setengah juta penduduk, menempatka­n pelbagai kemudahan awam

-

KUALA LUMPUR: Bandar Tun Razak yang terletak 9km dari ibu kota, sebelum ini merupakan penempatan setinggan di kawasan lombong tinggal dan dihuni oleh kira-kira 100 keluarga.

K i n i k a w a s a n i t u mempunyai lebih setengah juta penduduk pelbagai kaum serta menempatka­n pelbagai kemudahan awam dan pusat pengajian termasuk Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM).

Penduduk asal Bandar Tun Razak, dulu dikenali sebagai Kampung Congo, Ab Aziz Zainal, 84, yang juga antara peneroka awal kawasan itu, kini tersenyum bangga melihat pembanguna­n pesat di sekitarnya.

Mengimbau kembali kenangan hampir enam dekad tinggal di sini, beliau atau lebih mesra dipanggil Pak Aziz berkata kawasan Kampung Congo yang diterokain­ya pada 1960-an meliputi sekitar PPUKM, Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Kompleks Renang Kuala Lumpur hingga ke Pusat Belia Antarabang­sa Kuala Lumpur.

“Saya bersama 11 rakan meneroka tempat ini dan merasakan ia adalah kawasan sesuai untuk membina penempatan,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Pak Aziz yang pada ketika itu bekerja sebagai mekanik Angkatan Tentera Malaysia ( ATM) di Kem Batu Kentonmen, Jalan Ipoh berkata beliau menamakan kampung itu demikian kerana pada masa itu beliau menyelengg­arakan kenderaan ATM yang buat pertama kali menyertai misi Pertubuhan Bangsa- Bangsa Bersatu di luar negara iaitu di Congo.

Malaysia telah dipanggil PBB untuk menyertai tentera pengaman pertubuhan itu menerusi operasi United Nations Operation in Congo (ONUC).

Ketika itu, kos membina sebuah rumah di kawasan itu hanya menelan belanja RM300, dilengkapi sebuah bilik dan bilik air serta beratapkan zink dan pembinaann­ya mengambil masa dua hari sahaja untuk disiapkan.

Pak Aziz yang berasal dari Taiping, Perak berkata selepas 20 tahun kawasan itu diambil oleh kerajaan dan kesemua mereka berpindah ke rumah teres setingkat di Taman Jujur, iaitu kira-kira tiga kilometer dari Kampung Congo yang kemudian ditukarkan nama kepada Bandar Tun Razak pada 1981.

“Bertitik tolak daripada itu, saya lihat Bandar Tun Razak dilimpahi pelbagai nikmat pembanguna­n dengan kemudahan asas disediakan oleh kerajaan,” katanya yang kini mempunyai 15 cucu dan dua cicit itu.

Isterinya, Mariam Kadir, 74, berkata penduduk yang menetap di Bandar Tun Razak pada hari ini harus bersyukur dengan kemudahan dan peluang pekerjaan yang disediakan kerajaan.

“Dulu mak cik bekerja dengan membasuh kain di rumah orang di Taman Midah, dekat sini dengan pendapatan kasar RM60 sebulan, namun hari ini mak cik lihat banyak peluang pekerjaan ditawarkan, malah kemudahan asas pun banyak...nak ke hospital pun senang,” katanya.

Selain PPUKM, yang dibuka pada 1998, terdapat juga Hospital Rehabilita­si Cheras, Klinik Kesihatan Bandar Tun Razak dan hospital serta klinik swasta lain di situ.

Sementara itu, seorang lagi penduduk, Mohamad Zain, 61, berkata seiring dengan kemajuan Bandar Tun Razak, kawasan itu kini semakin padat, malah harga rumah pun semakin meningkat.

“Pada 1978, nilai rumah teres satu tingkat di Taman Jujur ialah RM9,800 sebuah tetapi kini nilainya mencecah RM300,000 sebuah, manakala projek perumahan baharu rumah teres pula bernilai jutaan ringgit sebuah,” katanya.

Mohamad, seorang pesara tentera yang dikenali sebagai Pak Malau oleh penduduk setempat berkata dahulu, beliau terpaksa berjalan kaki kira-kira satu kilometer dari Kampung Congo ke stesen bas yang terletak di Maktab Perguruan Ilmu Khas sekiranya mahu ke ibu kota.

“Pada masa itu, terdapat dua bas yang melalui kawasan ini ke ibu kota iaitu bas Tong Fong dan Foh Hup,” katanya tetapi kini penduduk di situ mempunyai pelbagai pilihan.

Pelbagai kemudahan pengangkut­an awam dinikmati penduduk di Bandar Tun Razak termasuk transit aliran ringan (LRT) laluan Sri Petaling, transit aliran massa ( MRT), Terminal Bersepadu Selatan di Bandar Tasik Selatan serta perkhidmat­an Express Rail Link (ERL) ke Lapangan Terbang Antarabang­sa Kuala Lumpur (KLIA).

Beliau berkata penduduk asal Bandar Tun Razak sentiasa menghargai segala usaha yang dijalankan kerajaan pusat dalam membangunk­an kawasan itu, yang sebelum ini hanya sebuah kampung setinggan.

Beliau berharap mereka yang bertanding di kawasan ini pada pililhan raya umum ke-14 9 Mei ini tidak hanya pandai berjanji seperti wakil rakyat sebelum ini, tetapi perlu membuktika­n mereka mampu melaksanak­an apa yang dijanji. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia