Utusan Borneo (Sarawak)

Orang tertua di dunia, 117, meninggal di Jepun

-

TOKYO: Seorang wanita Jepun berusia 117 tahun, dikatakan sebagai orang paling tua di dunia, telah meninggal dunia, menurut pegawai tempatan semalam.

Nabi Tajima, yang dilahirkan pada 4 Ogos, 1900, meninggal dunia kira- kira jam 8 malam waktu tempatan kelmarin di sebuah hospital di tempat asalnya Pulau Kikai di wilayah Kagoshima, menurut Susumu Yoshiyuki, pegawai kesihatan dan kebajikan.

Tajima, yang menjadi wanita tertua di Jepun pada September 2015, mungkin orang paling tua di dunia sejak Violet Brown dari Jamaica meninggal dunia pada September 2017 pada usia 117 tahun, menurut media Jepun.

Sejak kematian Brown, Rekod Dunia Guinness menyiasat orang paling tua di dunia dan masih belum mengiktira­f Tajima.

Lelaki paling tua di dunia berusia 112 tahun dan bernama Masazo Nonaka dari Jepun, umum organisasi tersebut pada 10 April.

“Tajima telah menetap di pusat penjagaan warga emas. “Pada Januari lepas, beliau menjadi semakin lemah, maka beliau telah dihantar ke hospital tempatan,” jelas Yoshiyuki.

“Beliau meninggal dunia di sana (kelmarin) kerana sakit tua,” jelas beliau.

Jepun terkenal dengan rakyatnya yang panjang umur dan mempunyai beberapa warga yang memegang gelaran paling tua.

Terdapat kira-kira 68,000 orang yang berusia 100 tahun atau lebih di negara ini, menurut kerajaan tahun lepas.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia